Akibat kluster, 3 pusat jagaan orang tua di P Pinang ditutup

Akibat kluster, 3 pusat jagaan orang tua di P Pinang ditutup

Kluster dikesan di salah satu daripada pusat jagaan tersebut, namun kerana ketiga-tiga pusat berada bawah pengurusan yang sama, semuanya diarah tutup.

Arahan telah dikeluarkan kepada semua pusat jagaan supaya tidak menerima sebarang lawatan atau kunjungan dalam usaha membendung penularan wabak.
GEORGE TOWN:
Tiga pusat jagaan orang tua bawah pengurusan sama di sini diarah tutup bermula semalam selepas kes Covid-19 membabitkan pekerja serta penghuni dikesan di salah sebuah daripadanya.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, berdasarkan maklumat diterima, terdapat jangkitan di rumah orang tua di Jalan Katz selepas seorang pekerja di situ didapati positif.

“Tiga pusat jagaan orang tua, iaitu di Jalan Katz, Jalan Seang Tek dan Lebuh Cecil, itu di bawah syarikat serta pengurusan yang sama malah pekerjanya juga bertugas di tiga pusat tersebut secara syif.

“Berikutan terdapat kes Covid-19 di pusat jagaan di Jalan Katz itu, dua lagi (pusat jagaan) turut diarah tutup dan semua pekerja serta penghuni diarah jalani ujian saringan dan dikuarantin,” kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun tiada maklumat lengkap diperoleh berhubung jumlah penghuni dan pekerja di tiga pusat jagaan orang tua itu kerana ketiga-tiganya tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Difahamkan tiga pusat jagaan itu menempatkan lebih 200 penghuni dan pekerja dengan tiada pergerakan masuk atau keluar dibenarkan.

Phee berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua pusat jagaan supaya tidak menerima sebarang lawatan atau kunjungan dalam usaha membendung penularan wabak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib berkata sehingga semalam, seramai 70 pekerja dan penghuni di pusat jagaan di Jalan Katz menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 36 daripadanya didapati positif.

“Ujian saringan diteruskan bagi memastikan semua pekerja dan penghuni tiga pusat jagaan itu menjalaninya,” kata beliau.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah isytiharkannya sebagai kluster. Keadaan ketika ini terkawal dan mereka yang positif telah diberikan rawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.