Polis periksa rumah ke rumah, rakyat patuh SOP tiada ziarah Aidilfitri

Polis periksa rumah ke rumah, rakyat patuh SOP tiada ziarah Aidilfitri

Pasukan polis mengadakan rondaan di kawasan perumahan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam, antara lain, bagi memastikan penduduk tidak melanggar SOP ketika PKP.

Sepasukan polis mengadakan pemeriksaan rumah ke rumah di kawasan perumahan Seksyen 7, Seksyen 8 dan Seksyen U12 Shah Alam hari ini untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah hari ini bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan tiada aktiviti kunjung-mengunjung sempena Hari Raya.

Pasukan polis mengadakan rondaan di kawasan perumahan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam, antara lain, bagi memastikan penduduk tidak melanggar SOP ketika PKP.

Di sesetengah tempat, penduduk flat meraikan Hari Raya di koridor rumah mereka untuk berkongsi kegembiraan bersama jiran sambil mematuhi SOP PKP.

PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara mulai Rabu lalu hingga 7 Jun ini, susulan lonjakan kes Covid-19. Semua aktiviti sosial, termasuk ziarah rumah ke rumah dan kubur serta rumah terbuka dilarang sama sekali.

Hanya Sabah membenarkan aktiviti ziarah kubur dan rumah ke rumah sempena Aidilfitri sehingga raya ketiga, terhad kepada 20 ahli keluarga terdekat dari 9 pagi hingga 9 malam.

Tuan rumah juga wajib menyediakan kod QR MySejahtera serta mematuhi protokol kesihatan umum.

Penduduk flat Seri Pulau Pinang di Cheras beraya di luar unit mereka. (Gambar Bernama)

Terdahulu, EXCO Terengganu, Azman Ibrahim dilaporkan dikompaun RM2,000 kerana melanggar SOP PKP dengan menerima tetamu pada 1 Syawal.

Baru-baru ini, The Star melaporkan lapan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan membuat kunjungan mengejut pada Hari Raya pertama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata, mereka yang didapati mengadakan rumah terbuka akan didenda RM25,000 dan pengunjung pula didenda RM5,000.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Abd Rahim Jaafar berkata, pematuhan orang ramai terhadap SOP, khususnya kesalahan berkaitan ziarah Aidilfitri di tahap memuaskan.

Sehingga kini, katanya, tiada kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu, yang ada hanyalah kompaun kerana tidak memakai topeng muka dan tiada penjarakan fizikal.

Beliau berkata, pemerhatian di kawasan perumahan juga mendapati jumlah kenderaan tidak banyak, menandakan tiada aktiviti berkumpul yang ketara oleh orang ramai.

“Bagaimanapun, pemantauan dan rondaan akan kekal dilakukan dari semasa ke semasa dalam memastikan keadaan ini kekal untuk jangka masa lama,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.