
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata mereka yang ditahan adalah penduduk setempat berumur antara 16 hingga 28 tahun.
“Sehingga kini pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas 20 orang.
“Semua mereka telah diperolehi perintah tahanan reman selama empat hari sehingga Isnin, 17 Mei,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, mereka ditahan susulan operasi mengesan dan menangkap yang dilancarkan polis sebaik sahaja menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, kira-kira 40 orang dipercayai terbabit dalam perhimpunan di persimpangan Pekan Parit Raja di KM 22.5 Jalan Batu Pahat – Kluang.
“Kumpulan tersebut membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta terhadap penguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian. selain merentang kain rentang bertulis ‘kerajaan gagal’ serta membakar suar dan mercun.
“Kain rentang yang sama juga dibawa dan digantung di jejantas di hadapan SJKC Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.
Menurut Ismail, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) serta juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.