Bukit Aman mahu KDN percepat proses tender kamera badan

Bukit Aman mahu KDN percepat proses tender kamera badan

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan untuk kegunaan anggota polis.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Mazlan Lazim (kanan) menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada petugas sekatan jalan raya di Plaza Tol Subang, semalam. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Polis memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mempercepatkan proses tawaran tender perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota polis di lapangan.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Mazlan Lazim berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada KDN berhubung perkara itu.

“Saya membawa perkara ini kepada KDN untuk mempercepatkan proses (tawaran) tender aset berkenaan dan didapati ia berada di atas landasan dan diharap dapat dilaksanakan pada hujung Mei ini atau Jun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekatan jalan raya di Plaza Tol Subang semalam.

Beliau berkata ia kemudian akan melalui proses penilaian oleh jawatankuasa teknikal sebelum dipilih Lembaga Perolehan Tender di KDN bagi mengeluarkan surat setuju terima kepada syarikat yang terpilih.

Sebelum ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, bagi melindungi anggota polis daripada perbuatan fitnah penjenayah atau orang tidak bertanggungjawab, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan untuk kegunaan anggota polis.

Muhyiddin berkata, ia bagi melindungi anggota polis daripada perbuatan fitnah daripada penjenayah ataupun orang yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, kelengkapan sekatan jalan raya seperti khemah dan peralatan klinikal bagi tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semalam hingga 7 Jun mencukupi dalam menjaga kebajikan dan keselesaan anggota bertugas di lapangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.