‘Syurga penyeludup’ di Malaysia sukar ditamatkan, kata aktivis

‘Syurga penyeludup’ di Malaysia sukar ditamatkan, kata aktivis

Aktivis berkata, rasuah dalam kalangan agensi kerajaan dan pergantungan pada tenaga kerja murah menjadikan masalah itu berakar umbi.

Penyeludup manusia menggunakan pelbagai teknik untuk membawa masuk pekerja warga asing, kata Abdul Aziz Ismail.
PETALING JAYA:
Pergantungan Malaysia pada tenaga kerja murah sejak sekian lama mewujudkan persekitaran ideal untuk aktiviti penyeludupan manusia berkembang, sekali gus menyukarkan usaha negara untuk keluar daripada masalah itu.

Pekerja yang dibawa masuk oleh kartel terdedah kepada penganiayaan seperti penahanan upah, rampasan dokumen dan ugutan diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka tidak patuh.

Pengarah kumpulan hak asasi North-South Initiative Adrian Pereira berkata, selama lebih 30 tahun ekonomi negara bergantung pada pekerja yang dieksploitasi di semua peringkat proses migrasi mereka, iaitu bermula dari ejen pengambil pekerja di negara asal yang mengurus kemasukan ke Malaysia.

“Malaysia menyediakan persekitaran yang sangat sesuai untuk kegiatan ini berterusan. Pihak berkuasa ada kepentingan, sektor perniagaan meraih untung dan pelbagai agensi kerajaan mendapat manfaat selagi masalah itu tidak diatasi,” katanya.

Adrian Pereira

Beliau berkata, ejen pengambil pekerja mungkin memaksa mereka menerima syarat pekerjaan yang tidak adil, hatta tanpa menyediakan dokumen yang sah.

“Justeru sudah terlalu lewat untuk pulang ke negara asal sebaik sahaja mereka perlu menandatangani kontrak apabila tiba di Malaysia.

“Banyak wang yang terlibat dalam penyeludupan manusia dan banyak pihak mendapat keuntungan. Saya tidak nampak ia akan berakhir dalam masa terdekat.

“Sektor penrniagaan akan mencari jalan untuk menunjukkan ia tidak berlaku atau memastikan ia disembunyikan,” katanya.

Anggota pasukan petugas Majlis Anti Penyeludupan Manusia Selangor Abdul Aziz Ismail berkata, terdapat banyak teknik yang digunakan oleh penyeludup untuk membawa masuk pekerja secara tidak sah, malah ia terus berjalan kerana pegawai yang terlibat dalam proses itu menerima bayaran untuk memudahkannya berlaku atau tidak mengendahkannya.

“Bagi mengelak kuota yang ditetapkan, kita melihat syarikat mewujudkan syarikat perniagaan palsu yang tidak mempunyai apa-apa infrastruktur sama sekali. Ia didaftarkan di bawah Pendaftar Perniagaan, tetapi bukan merupakan entiti yang berfungsi.

“Mereka kemudian memohon untuk membawa masuk pekerja di bawah syarikat terbabit, tetapi memindahkannya ke syarikat sebenar, walaun apapun jenisnya.

Aziz berkata, individu tertentu dalam pelbagai agensi yang terlibat seperti Kementerian Dalam Negara dan Jabatan Imigresen bersekongkol dalam meluluskan permohonan khas yang berlebihan bagi memintas proses penapisan kelayakan.

Katanya, beliau pernah bercakap dengan pekerja yang tidak dibayar gaji sehingga 10 bulan, tetapi dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh majikan apabila mereka menuntut bayarannya.

Pengasas Beyond Borders Malaysia Mahi Ramakrishnan berkata, walaupun Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 menetapkan hukuman ke atas penyeludup manusia, namun penguatkuasaannya lemah kerana terdapat pegawai yang mengambil untung atas amalan itu.

“Seluruh sistem seolah-olah menekan migran. Siapakah yang menjadi mangsa berulang-ulang kali? Pekerja migran sendiri. Pihak ketiga, ejen pekerja dan majikan di Malaysia terlepas dengan hukuman yang ringan.

“Saya percaya, ramai anggota penguat kuasa, sama ada imigresen atau polis, yang mahu keadaan buruk ini ditamatkan, namun terdapat juga pegawai yang mendapat untung besar.

“Harus ada keazaman politik untuk memburu pihak yang membantu memudahkan aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.