Perantau pasrah 5 tahun tak dapat beraya di kampung

Perantau pasrah 5 tahun tak dapat beraya di kampung

Sebagai petugas barisan hadapan selama 18 tahun, sukar untuk Sahhairul Faizi Sulaiman dan isterinya mendapat cuti pada minggu pertama Hari Raya.

NILAI:
Wajahnya kelihatan sedih dan sebak setiap kali ditanya mengenai kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

Manakan tidak, dalam tidak sedar, sudah lima tahun Sahhairul Faizi Sulaiman, 42, tidak dapat pulang beraya di kampung halaman kerana perlu bertugas, ditambah pula larangan rentas negeri pada tahun lalu dan tahun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Bapa kepada empat anak itu yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan, berkata nikmat mencium dan memeluk ibu bapanya sangat didahagakan, lebih-lebih lagi pada pagi Syawal.

“Macam saya, seorang ayah, siapa tak nak hari raya pertama lihat anak depan mata, tetapi itulah lumrah hidup.

Sahhairul Faizi Sulaiman memasang pelita di sekitar rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan, menjelang 1 Syawal.

“Saya jelaskan pada mak ayah kita, bukan kita suka-suka tak nak balik kampung, tetapi hakikatnya hati kita ini meronta-ronta nak balik. Siapa tak nak balik kampung?” katanya yang tidak dapat menahan air mata mengalir ketika mengenangkan ibu bapanya di Batu Pahat.

Ketika ditemui FMT di Nilai baru-baru ini, Sahhairul berkata, dirinya ialah tentera dan isterinya pula merupakan jururawat, oleh itu mereka tidak dapat pulang ke kampung pada minggu pertama Aidilfitri.

Sebagai petugas barisan hadapan selama 18 tahun, katanya, sukar untuk mereka mendapat cuti pada minggu pertama Hari Raya.

“Sekarang ini saya sudah biasa. Saya pernah balik beraya pada hari terakhir Syawal, saya juga pernah beraya di dalam hutan.”

Untuk mengubat kerinduan terhadap ibu bapanya, Sahhairul berkata, panggilan video melalui aplikasi WhatsApp ialah satu-satunya cara untuk mendekatkan mereka.

Walaupun jauh dari kampung halaman, katanya, sambutan Aidilfitri tidak kurang meriahnya di kawasan bandar kerana beliau akan bersama jiran tetangga bergotong royong memasak juadah raya serta menyalakan pelita di laman rumah.

Tahun lalu, ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan, kerajaan tidak membenarkan pergerakan rentas negeri untuk rakyat beraya di kampung halaman. Namun, aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan dibenarkan pada hari pertama sambutan yang terhad kepada 20 orang, bergantung kepada saiz kediaman.

Tahun ini, Putrajaya sekali lagi melaksanakan larangan rentas daerah dan negeri bermula 10 Mei lalu hingga 7 Jun sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan di seluruh negara, dengan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan kubur tidak dibenarkan ketika sambutan Aidilfitri.

Muhammad Afiq Senen dari Kluang, Johor.

Seorang lagi perantau, Muhammad Afiq Senen, 31, sedih kerana tahun ini kali kedua beliau tidak dapat pulang beraya di Kluang, Johor.

“Selalunya di kampung akan jumpa adik-beradik dan saudara mara, tetapi di perantauan ini, kita beraya bersama keluarga kecil saya sendiri,” katanya sambil menambah isterinya juga berasal dari Johor.

“Beraya di kampung sudah tentu lagi seronok sebab makan-makan juga lebih meriah, ditambah air tangan mak.”

Beliau bersyukur dapat menghubungi ibu bapa dan adik-beradik melalui panggilan video WhatsApp untuk bertanya khabar pada Hari Raya nanti.

Radzuan Abdul Rashid dari Triang, Pahang.

Bagi Radzuan Abdul Rashid, 38, beliau hilang keseronokan beraya kerana tahun ini kali kedua beliau tidak dapat beraya di Triang, Pahang.

“Selalunya akan balik ke kampung, tetapi kali ini hanya beraya di rumah kakak di Seremban, Negeri Sembilan, seperti tahun lalu.

“Raya pun tak seronok, pakai sahaja baju apa yang ada. Perasaan untuk beraya sudah tidak ada, nak dengar lagu raya pun jadi sedih.

“Bukan nak beraya sangat, tetapi lebih nak jumpa mak dan ayah di kampung,” katanya dengan hampa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.