
Norhayati Mohd Ariffin, adakala seolah-olah putus harapan, namun demi anak dia mesti kuat walaupun hampir lima tahun kehilangan Amri yang sehingga kini masih misteri.
“Saya tetap berharap suami dan ayah kepada anak saya akan kembali walaupun harapan begitu tipis.
“Kami tidak putus berdoa, walau dengan apa cara sekali pun Amri akan kembali dan merungkai persoalan apa sebenar berlaku. Doa kami semoga mereka yang terlibat dalam kehilangan suami saya mendapat balasan setimpal,” katanya kepada FMT.
Ditanya persepsi masyarakat selepas kehilangan Amri mendapat perhatian umum sejak hampir lima tahun lalu, Norhayati berkata keluarganya tidak boleh lari daripada cemuhan walaupun ada yang bersimpati dan tidak putus memberi kata semangat.
“Tidak semua bersimpati, ada juga yang pandang serong kejadian ini. Namun, saya yakin dan terus kuatkan semangat serta pekakkan telinga. Mereka tidak berhak mempersoalkan kerana yang dipersoalkan (Amri) tidak dapat membela diri.
“Masih ramai di sekeliling terutama keluarga dan rakan yang bersimpati terus memberi semangat kepada kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Bercerita mengenai Aidilfitri yang memasuki tahun kelima tanpa suami di sisi, Norhayati yang juga guru berkata keluarganya hanya membuat persiapan sederhana.
“Kecuali jika dapat pulang ke kampung adalah sedikit kemeriahannya untuk melupakan sebentar kesedihan. Tiada apa yang dapat menghilangkan kerinduan kami padanya (Amri).
Siasatan hampa
Mengenai siasatan kehilangan Amri selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) membentangkan laporan hasil 18 bulan inkuiri kes itu pada April 2019, Norhayati berkata sehingga kini tiada sebarang perkembangan dimaklumkan termasuk daripada pasukan petugas khas ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Pihak kami telah minta buat siasatan semula dengan penubuhan ‘task force’. Apa yang dikesali, tiada maklum balas daripada mereka (task force) selama tempoh diberikan.
“Malah, saya sendiri beberapa kali menghubungi salah seorang anggota mereka dan kenyataan diterima hampa, ‘siasatan sedang dijalankan, kami tidak boleh beri maklumat siasatan, maklumat siasatan adalah rahsia’…itu jawapan diberikan.
“Saya tetap mahu kes Amri terus disiasat dan mohon Ketua Polis Negara yang baharu ambil tindakan kerana ini melibatkan pihaknya. Pihak kami (peguam) juga ada membuat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia sebagai tindakan seterusnya tentang apa yang saya alami,” katanya.
Amri, pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope dikatakan menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.
Norhayati dilaporkan berkata, lima kenderaan menyekat kereta suaminya sebelum dibawa pergi kira-kira 500m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.
Pada 3 April 2019, SUHAKAM membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap “kehilangan paksa” Amri dan Pastor Raymond Koh.
Raymond diculik semasa memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017.
Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu terbabit yang bermula pada Oktober 2017.
Pada Mei 2019, KDN menubuhan pasukan petugas khas untuk melihat dapatan awal SUHAKAM mengenai kehilangan mereka, yang digambarkan sebagai mangsa kehilangan paksa.