
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata penularan Covid-19 memburukkan lagi isu keganasan rumah tangga, terutama di bawah perintah kawalan pergerakan.
Pegawai penyelidikan dan advokasinya, Anis Farid berkata angka itu mengejutkan kerana talian bantuan Talian Kasih kerajaan hanya menerima 651 kes keganasan rumah tangga pada 2018.
Anis berkongsi dengan FMT bagaimana mereka yang menderita keganasan rumah tangga boleh mendapatkan bantuan.
Perkara penting perlu diingat
Selepas anda memutuskan untuk mendapatkan bantuan, ingatlah anda tidak bersendirian. Simpan bukti penderaan fizikal, seperti gambar kecederaan. Beritahu seseorang apa yang sedang anda alami. Sekiranya terdapat anak-anak di rumah, bantu mereka untuk mengenal pasti tempat yang selamat untuk bersembunyi. Siapkan dan kemaskan beg kecemasan yang merangkumi dokumen penting, wang, pakaian dan simpan di tempat yang selamat.
Apakah yang patut anda buat?
Terdapat beberapa talian 24 jam yang boleh anda hubungi untuk mendapatkan bantuan:
- Polis (999)
- Talian Hotline WAO (03-30008858)
- WAO SMS atau Talian Whatsapp juga dikenali sebagai TINA (0189888058)
- Talian hotline “Talian Kasih” (15999) atau Whatsapp (0192615999)
Simpan nombor-nombor ini menggunakan nama yang berbeza bagi mengelak pasangan anda mengetahuinya.

Pergil ke “One Stop Crisis Center” (OSCC) di bilik kecemasan mana-mana hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan dan bantuan percuma. Tidak wajib membuat laporan polis mengenai keganasan rumah tangga untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Anda juga boleh mendapatkan “Perintah Perlindungan Kecemasan” (EPO) dengan menghubungi Talian Kasih atau pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat untuk memastikan pendera tidak boleh mendekati anda.
EPO sah selama 7 hari, langkah berikutnya adalah untuk memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO). Anda boleh memohonnya di balai polis.
Kemudian apa?
Buat laporan polis. Anda boleh melaporkan sebarang tindakan atau ancaman keganasan. Dalam laporan polis anda, tuliskan perincian penderaan, seperti apa yang berlaku, bila ia berlaku (tarikh dan anggaran masa), di mana ia berlaku, dan siapa yang terlibat.
Ingat, pastikan anda menyimpan salinan laporan polis tersebut. Sekiranya anda tidak mahu membuat pendakwaan tetapi mahu mendokumentasikan kejadian itu, anda boleh membuat “cover report” dan bukannya “action report”.

“WAO menasihati mereka yang terselamat untuk membuat laporan kerana ada baiknya mempunyai bukti bertulis dan dokumen rasmi sekiranya berlaku sesuatu. Ini berguna untuk mangsa membina kes terhadap pendera.
“Memfailkan laporan juga dapat membantu mereka yang terselamat untuk mendapatkan perintah perlindungan, ia pada dasarnya berfungsi sebagai perintah penahanan,” katanya.
Anis berkata walaupun mangsa penderaan rumah tangga dan ahli keluarga mereka boleh memohon IPO di balai polis, ia tidak terpakai untuk pasangan yang belum berkahwin.
Katanya salah satu jurang terbesar dalam undang-undang Malaysia adalah ia hanya terpakai dalam lingkungan perkahwinan.

“Kami menggesa kerajaan untuk meminda undang-undang bagi memastikan mangsa penderaan rumah tangga yang tidak berkahwin dilindungi dengan lebih baik.
“Secara keseluruhannya, sistem perundangan kita perlu memfokus kepada mangsa yang terselamat. Mangsa yang terselamat perlu merasakan tindakannya disokong, bermula dengan doktor di klinik hingga ke pegawai polis, peguam dan hakim.
“Jangan takut untuk meminta bantuan, anda tidak bersendirian. Kami di sini untuk menyokong dan membimbing anda. “