PKPD di kuarters pekerja lombong Raub bermula Jumaat

PKPD di kuarters pekerja lombong Raub bermula Jumaat

KKM semalam mengesan kes baharu melibatkan pekerja warga India di Lombong Sungai Batu, Batu Talam.

PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di Kuarters Pekerja Lombong Sungai Batu, Batu Talam di Raub, Pahang mulai Jumaat hingga 27 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mengesan kes baharu melibatkan pekerja warga India di lombong tersebut.

“Sehingga hari ini KKM telah melakukan ujian saringan melibatkan 50 orang pekerja,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan membolehkan KKM menjalankan saringan awal serta mengesan kontak rapat untuk saringan dan pengasingan.”

Sementara itu, PKPD di satu lokaliti di Sabah, dan dua di Sarawak ditamatkan mengikut jadual, menurut Ismail.

PKPD di SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak, akan ditamatkan esok, manakala di Kampung Sagah, Kuching, Sarawak, dan Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah, tamat Jumaat.

KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal di lokaliti-lokaliti berkenaan, kata Ismail.

Dalam perkembangan lain, Ismail melaporkan 236 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, seramai 235 individu dikompaun manakala seorang lagi direman,” kata beliau.

Antara kesalahan yang direkodkan adalah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (115), tidak memakai pelitup muka (50), tiada penjarakan fizikal (16), dan lain-lain (55).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.