Nekad rentas daerah tanpa kebenaran, remaja didenda RM5,000

Nekad rentas daerah tanpa kebenaran, remaja didenda RM5,000

Remaja itu didenda kerana gagal mengemukakan surat kebenaran atau sebarang dokumen berkaitan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mengadakan pemantauan SOP di terminal pengangkutan berkenaan selepas beberapa daerah dan mukim di Pulau Pinang melaksanakan PKP kelmarin. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Akibat nekad merentas daerah tanpa kebenaran, seorang gadis didenda RM5,000 ketika cuba menggunakan perkhidmatan tren di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata remaja berusia 19 tahun itu didenda kerana gagal mengemukakan surat kebenaran atau sebarang dokumen berkaitan ketika polis mengadakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di terminal itu.

“Ketika pemeriksaan polis menemui sepasang kekasih yang dari Bukit Mertajam yang terletak dalam daerah Seberang Perai Tengah ke Penang Sentral dalam daerah Seberang Perai Utara.

“Apabila siasatan dijalankan remaja lelaki berkenaan yang juga berusia 19 tahun datang dari Kedah sebelum bertemu teman wanitanya di Bukit Mertajam untuk sama-sama pergi temu duga kerja di sebuah syarikat di negeri ini.

“Remaja lelaki berkenaan mempunyai dokumen rentas negeri termasuk surat panggilan temu duga kerja namun teman wanitanya tidak mempunyai apa-apa dokumen kebenaran rentas daerah maka polis mengeluarkan kompaun terhadap kesalahannya,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Beberapa daerah dan mukim di Pulau Pinang melaksanakan PKP kelmarin dan pergerakan merentas daerah dan negeri adalah dilarang.

Mengulas mengenai operasi yang diadakan, Noorzainy berpuas hati apabila pemeriksaan mendapati semua penumpang mempunyai surat kebenaran rentas negeri daripada pihak berkuasa.

“Kebanyakan penumpang yang melakukan perjalanan rentas negeri adalah terdiri daripada pasangan jarak jauh (PJJ) manakala selebihnya adalah pelajar universiti yang baru menamatkan pengajian dan urusan bekerja,” katanya.

Susulan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan PKP di seluruh negara yang berkuatkuasa tengah malam tadi, Noorzainy berkata polis daerah itu mengadakan 12 sekatan jalan raya (SJR) bagi mengekang aktiviti rentas daerah dan negeri.

“Kita mohon kerjasama orang awam supaya patuh pada arahan kerajaan untuk sama-sama mengekang kes penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.