Duduklah di rumah, pinta kesatuan kepada rakyat Malaysia pada Hari Jururawat

Duduklah di rumah, pinta kesatuan kepada rakyat Malaysia pada Hari Jururawat

Bersempena Hari Jururawat, kesatuan nasional yang mewakili jururawat dalam perkhidmatan awam meminta rakyat Malaysia memahami tekanan dihadapi mereka ketika pandemik memburuk.

Bukan mudah berdiri selama lapan jam dengan memakai PPE penuh, kata Nor Hayati Abd Rashid.
PETALING JAYA:
Dalam berhadapan kes Covid-19 yang kini sedang mencanak naik, kebanyakan rakyat Malaysia mungkin lupa atau tidak menyedari bahawa hari ini, 12 Mei, adalah Hari Jururawat.

Dalam pada 120,000 jururawat di negara ini menghadapi tekanan teruk dengan keadaan yang semakin parah, Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) mempunyai pesanan ringkas ditujukan kepada semua lapisan masyarakat – duduk saja di rumah.

Presiden MNU, Nor Hayati Abd Rashid, merayu mendesak masyarakat supaya memikirkan tekanan yang dilalui oleh jururawat dan petugas kesihatan di hospital yang sangat sukar bagi mereka.

“Kami tidak meminta wang. Ingatlah bahawa jururawat juga anak perempuan, ibu dan nenek yang banyak berkorban untuk negara selama masa genting ini.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaysia Nor Hayati Abd Rashid.

“Fikirkanlah mengenai kami ini dan bantu memutuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada FMT.

Nor Hayati berkata, rakan-rakan jururawat di pelbagai hospital telah menceritakan banyak kisah mengerikan mengenai semakin ramai pesakit yang lebih muda kini dijangkiti varian baharu Covid-19.

“Kami tidak meminta simpati tetapi rayuan saya agar orang ramai duduk di rumah hanyalah untuk membantu negara kembali bangkit,” tambahnya.

Beliau berkata, tidak seperti penjawat awam lain yang boleh bekerja dari rumah, jururawat harus menghadapi masalah dan situasi itu secara langsung.

“Berdiri selama lapan jam dengan memakai PPE penuh bukanlah sesuatu yang senang. Percayalah, tidak mudah, tetapi kita terpaksa melakukannya.

“Kami semua lega pada akhir tahun lalu apabila kes positif harian mencapai sifar.

“Kemudian kami melihat bagaimana rakyat Malaysia benar-benar mengabaikan SOP, terus berkeliaran di kawasan panas.

“Ini memang perbuatan tidak bertanggungjawab dan sekarang menyebabkan hospital mencapai kapasiti penuh,” katanya.

Nor Hayati berkata disebabkan itu, ramai anggotanya dipindahkan ke negeri seperti Kelantan, Sarawak dan Selangor. Katanya, walaupun mereka tidak merungut, sudah pasti keadaan itu memberi tekanan untuk keluarga mereka.

Namun, katanya, memandangkan perkhidmatan mereka sangat penting untuk negara, terutama ketika berhadapan wabak ini, mereka rata-rata bersiap sedia berkorban.

Menurut Nor Hayati, beban kerja jururawat kini hampir dua kali ganda kerana juga perlu memberi vaksin dan menjaga pesakit dengan penyakit lain kerana Kementerian Kesihatan telah mengarahkan semua hospital mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja dan wad untuk Covid-19.

“Hasrat kami pada hari ini adalah agar kerajaan melatih dan merekrut lebih banyak jururawat bagi memenuhi keperluan perubatan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat bagi Malaysia yang juga negara yang semakin tua.

“Negara ini memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 lagi jururawat untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Secara positif, Nor Hayati berkata beliau gembira kerana ada kaunselor di hospital untuk membantu jururawat sekiranya mengalami tekanan perasaan atau kemurungan yang mampu menjejaskan prestasi mereka.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Adnan Mat turut memberi penghormatan kepada jururawat yang dianggap memainkan peranan dalam kehidupan rakyat Malaysia dari lahir hingga mati.

“Mereka adalah sebahagian penting dalam kehidupan seseorang, jadi marilah kita menghargai pengorbanan mereka.

“Peranan mereka mulia dan jangan dipandang remeh. Pengorbanan mereka dalam pandemik Covid-19 ini sangat terpuji,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.