Apa strategi keluar dari Covid-19 jika tiada PKP, tanya Ahli Parlimen Sarawak

Apa strategi keluar dari Covid-19 jika tiada PKP, tanya Ahli Parlimen Sarawak

Dr Kelvin Yii berkata, bantuan kewangan perlu diberikan kepada perniagaan yang terjejas teruk akibat perubahan SOP.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, sistem penjagaan kesihatan Sarawak mungkin akan terbelenggu tanpa campur tangan berkesan. 
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) ketika ini perlu mempunyai strategi keluar dari Covid-19 yang jelas, selepas keputusannya untuk tidak mengguna pakai arahan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan pusat, kata seorang Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, walaupun beliau menyokong kuasa “autonomi” Sarawak untuk membuat keputusan berpandukan kepada konteks dan keperluan tempatan, ia mestilah bersandarkan data sains dan bukannya berpandukan pertimbangan politik.

Dalam kenyataannya hari ini, Yii berkata adalah penting supaya masyarakat awam mengetahui alasan SDMC untuk kekal melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) khususnya di kawasan yang kadar jangkitan jumlah kes dicatatkan tinggi.

“Saya bimbang dengan kenyataan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing baru-baru ini bahawa penggunaan unit rawatan rapi (ICU) di hospital kerajaan telah mencapai tahap kritikal,” katanya, sambil menambah bekalan PPE juga pada tahap kritikal di hospital tertentu.

Yii berkata, tanpa campur tangan berkesan, sistem penjagaan kesihatan Sarawak, khususnya di kawasan wabak tercetus, mungkin terbelenggu berikutan pengesanan varian Covid-19 yang membimbangkan di negeri ini.

“Dengan bilangan kes tinggi dan kadar vaksinasi yang rendah di Sarawak, kami tidak mahu menyediakan persekitaran yang kondusif supaya virus dapat bermutasi lebih jauh, menjadikannya lebih mudah berjangkit dan lebih sukar dikendalikan,” katanya.

Sementara itu, Yii berkata bantuan kewangan untuk industri yang terjejas teruk oleh perubahan SOP baru-baru ini harus disediakan, terutama bagi industri makanan.

Semalam, SFMC mengumumkan bahawa pelanggan makan di dalam premis restoran dan gerai tidak dibenarkan sebaliknya hanya penghantaran, pandu lalu serta pembelian untuk bawa pulang sahaja dibenarkan.

Yii meminta supaya kerajaan negeri mempunyai strategi keluar yang jelas untuk semua aktiviti perniagaan selepas PKPB. Katanya, ini perlu mencakupi langkah untuk mengembalikan ekonomi seperti sedia kala sambil memastikan keselamatan masyarakat.

“Harus ada keterlibatan berterusan antara kementerian yang relevan dan pihak berkepentingan (untuk mereka bincangkan) langkah diperlukan supaya perniagaan dapat beroperasi semula secara berperingkat, selain untuk membolehkan mereka menyiapkan SOP yang diperlukan sebelumnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.