Anda bersama kami atau PJD Link, penduduk tanya ahli politik

Anda bersama kami atau PJD Link, penduduk tanya ahli politik

Pembinaan lebuh raya dijangka dimulakan tahun ini, tetapi ada kebimbangan mengenai kesannya, termasuk kemusnahan alam sekitar.

Penduduk Petaling Jaya membuat protes terhadap projek PJD LINK bulan lepas.
PETALING JAYA:
Penduduk yang terjejas dengan cadangan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) mempersoalkan sikap berpeluk tubuh wakil rakyat berhubung projek pembangunan utama itu, yang didakwa akan membawa kesengsaraan kepada ribuan penduduk.

Syarikat yang menjalankan projek lebuh raya bertingkat itu, PJD Link Sdn Bhd berkata projek pembinaan itu akan bermula akhir tahun ini.

Projek ini berdepan banyak bantahan dari persatuan penduduk dan didakwa sebagai siaran ulangan kepada projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang dibatalkan.

Pengerusi gabungan bantahan PJD Link, Sheikh Moqhtar Abdul Kadir memberitahu FMT organisasinya telah cuba membawa isu itu kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun tidak berhasil.

Katanya, wakil rakyat tidak sepatutnya hanya “berpeluk tubuh” kerana rakyat berhak mengetahui pendirian mereka dalam isu terbabit.

“Kami telah menghubungi mereka tetapi maklum balas terhadap PJD Link adalah lambat dan bersifat acuh tak acuh,” katanya, sambil menambah hanya Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah memberikan sokongan setakat ini.

“Sikap berdiam wakil rakyat terpilih akan terus mengecewakan rakyat dan tidak akan memberi petanda baik dalam pilihan raya akan datang. Penggubal undang-undang tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan. Mereka perlu memberikan perhatian sepenuhnya untuk membela nasib pengundi mereka.”

Katanya, penduduk telah lama mengadu mengenai kesan negatif lebuh raya tersebut, seperti kesesakan yang disebabkan oleh pembinaan, kemusnahan persekitaran untuk jalan raya dan pencemaran bunyi yang akan mengganggu penduduk.

Penduduk Sekyen 14, Michael Kum, yang sebelum ini membantah perkembangan Kidex yang mencetus masalah serupa dengan PJD Link berkata, bertanya mengenai pendirian ahli politik bukanlah tindakan antagonis, sebaliknya hanya permintaan untuk mendapatkan kejujuran.

“Kami hanya ingin tahu sama ada anda bersama kami atau menentang kami,” katanya. “Isu ini akan mempengaruhi ramai orang, terutama orang tua yang tinggal di ratusan kediaman yang perlu memberi laluan kepada projek ini.”

Dia bertanya mengapa Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, khususnya, membisu mengenai lebuh raya kontroversi itu sehingga kini. Padahal, penjajaran terbaharu itu melalui kawasannya.

Kum berkata lebuh raya baharu bukan jawapan kepada masalah lalu lintas di kawasan itu. Cara yang lebih berkesan untuk meredakan kesesakan lalu lintas adalah dengan menaik taraf pengangkutan awam, tambahnya.

Leong, seorang penduduk PJ sejak 1973, berkata ahli politik mempunyai tugas untuk tampil dan menyampaikan suara rakyat.

“Sebagai wakil rakyat, suara kami adalah mandat rakyat,” katanya. “Oleh itu ia lebih kuat daripada suara individu.

“Sebagai individu (kecuali ada kumpulan yang cukup besar), pihak berkuasa akan memberitahu mereka bahawa kepentingan demi kebaikan bersama perlu melangkaui kepentingan individu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.