

Arif, 54, benar-benar faham keterbatasan sekarang, namun beliau tidak dapat sembunyikan perasaannya dari kru FMT. Tahun ini, beliau sekali lagi memendam rindu.
“Saya….” kata Arif sebelum terus memandang ke lantai, tak sanggup menghabiskan ucapan rayanya kepada keluarga dan rakan-rakan. “Tak boleh cakaplah,” katanya sambil menekup mata.
“Saya ucapkan kepada kawan-kawan saya…dan keluarga saya…selamat hari raya, maaf zahir batin,” katanya, dengan mata berkaca.

Kehadiran kru kami di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong, Selangor disambut dengan mesra oleh penghuninya. Pertemuan kami diselang-seli dengan lagu-laguan dan komen mengenai sajian raya.

“Biskut mazola!” kata Miskiah Misnoh menyenaraikan makanan yang boleh dimasaknya. Beliau sudah 12 tahun di rumah ini bersama 44 warga emas lain.
Anak-anaknya di Semenyih, kira-kira 43 minit dari Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas. Miskiah, 74, berkata keluarganya tidak datang menjemputnya untuk beraya sejak “kefew” tahun lepas.
Miskiah kata nama glamernya di situ, “Mis”.
“Tak rindu. Kalau dia rindu, datang sini,” katanya, dalam cubaan untuk berseloroh.
Omar Nasri, 84, berkata sambutan raya di pusat itu boleh jadi agak meriah, dikelilingi rakan-rakan seusia.

Beliau berkata kehidupan seharian mereka diisi dengan aktiviti, seperti senam aerobik pada Isnin, Rabu, dan Jumaat.
Bersuara lembut, tawa tidak lekang dari wajahnya, yang sempat menyanyikan lagu untuk penonton FMT.
Pengurus pusat, Mohd Arif Abdullah Azman, berkata pihaknya cuba membuat persiapan raya tahun ini dengan sebaik mungkin, lagi-lagi ketika ahli keluarga penghuni terbatas kerana PKP.
Biasanya, mereka akan menghias pusat tersebut bagi mewujudkan suasana raya.

“Cuma masa tahun pertama Covid-19 kita macam bingung sedikit lah sebab keadaan tak sama.
“InsyaAllah tahun ini kita akan buat lebih baik…kita akan masak rendang, kuah lodeh, setiap negeri punya masakan kita akan usahakan.”
“Mis” bagaimanapun mempunyai pandangan tersendiri mengenai makanan yang disediakan di pusatnya.
“Kadang-kadang best, kadang-kadang tak best,” katanya.