
Mengulas amaran Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, terhadap majikan yang menghalang pekerja menjalani kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian saringan, Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman, berkata kebanyakan golongan itu berusaha keras mengekang penularan virus berkenaan.
“Tidak wajar untuk memberi gambaran bahawa majikan secara umumnya berdegil dan tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
“Asalkan arahan diberikan pihak berkuasa jelas dan konsisten, kebanyakan majikan akan mematuhinya.”

Beliau berkata, kuarantin kendiri bukan satu-satunya pilihan yang ada untuk majikan, kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini memperkenalkan program sukarela Safe@Work untuk industri pembuatan dan perkhidmatan berkaitan, dengan kontak rapat masih dibenarkan bekerja bawah konsep “gelembung selamat.”
Katanya, walaupun impak sekatan pergerakan penuh akan menjejaskan perniagaan serta ekonomi dengan teruk, MEF faham betapa pentingnya mengekang jumlah jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.
“Sebarang keputusan dan kenyataan berkaitan perkara ini mesti turut mengambil kira kepentingan perniagaan serta pemeliharaan mata pencarian,” katanya.
Semalam, Adham berkata pekerja yang disahkan positif mesti menjalani kuarantin wajib selama 10 hari manakala mereka yang hasil ujian negatif perlu menjalani kuarantin kendiri.
Adham dipetik berkata, tindakan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka, sama ada kes yang disyaki atau telah menjalani ujian, untuk melakukan kuarantin kendiri sehingga keputusan diperolehi.