Kon konkrit tak menjadi, polis gali lubang di lorong tikus halang rentas negeri

Kon konkrit tak menjadi, polis gali lubang di lorong tikus halang rentas negeri

Lorong tikus itu sering dijadikan laluan orang ramai menaiki kenderaan bagi mengelak SJR Kampung Tanah Puteh, Kelantan.

Polis di Kelantan terpaksa mengambil tindakan lebih tegas untuk menghalang orang ramai merentas negeri melalui lorong tikus. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis di Kelantan bertindak menggali lubang di lima lorong tikus sekitar Kampung Tanah Puteh, dekat Gua Musang, bagi menghalang kenderaan melaluinya untuk merentas negeri memasuki Kelantan.

Sebelum ini, kon konkrit yang diletakkan bagi menghalang laluan dipecahkan samseng jalanan yang ingin merentas negeri melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Lorong tikus itu sering dijadikan laluan orang ramai menaiki kenderaan bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Puteh, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo.

“Kami mengambil tindakan untuk menutup sepenuhnya lorong tikus bagi pengguna jalan raya yang cuba melepasi SJR,” Sik dipetik Harian Metro sebagai berkata.

Selain menggali lubang dan menutup laluan, polis juga melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan itu.

“Tindakan berterusan dan pemantauan akan dibuat daripada semasa ke semasa oleh anggota supaya tidak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk melepasi daerah atau rentas negeri,” katanya hari ini.

Sebelum itu, beliau melakukan pemantauan di lima lorong tikus di kampung itu yang menjadi tumpuan pengguna untuk melepasi pemeriksaan di SJR.

Aliran trafik memasuki Kelantan melalui SJR di KM7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kampung Tanah Puteh didapati lancar, menurut Sik.

Katanya, kebanyakan pengguna jalan raya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa mulai esok yang melarang aktiviti merentas daerah dan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.