
Che Hamat Che Pa berkata, meskipun usia semakin tua beliau bersyukur masih diberikan kesihatan yang baik, walaupun pernah menjalani pembedahan mata kiri pada dua tahun lalu.
“Selalunya ketibaan Ramadan dan Aidilfitri pasti menjadi lubuk rezeki berganda buat tukang jahit pakaian, namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempahan baju raya tidak lagi sebanyak seperti tahun sebelum ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Hamat berkata, pada tahun ini beliau menerima 30 tempahan baju raya daripada pelanggan, berbanding 100 pasang baju yang diterima pada tahun lalu.
Bapa kepada lima anak dan datuk kepada 20 cucu dan cicit itu berkata, penularan Covid-19 selain pelaksaan PKP memang memberi kesan ketara terhadap tukang jahit terutama dirinya, namun mahu tidak mahu semua orang perlu menghadapi situasi sama ketika ini.
“Jika sebelum ini, pak cik dibantu oleh beberapa orang pekerja, namun sebaik PKP dilaksanakan di Kelantan, kebanyakan daripada mereka tidak dapat datang disebabkan larangan merentas daerah dan kini, saya hanya dibantu oleh isteri, Zawahir Abdullah.
“Berikutan tempahan baju raya yang diterima tidak banyak, pak cik mempunyai masa terluang lebih banyak berbanding sebelum ini dan dalam sehari hanya menjahit satu atau dua pasang sahaja,” katanya.
Menceritakan pengalaman beliau mula menjahit, Hamat berkata beliau mula belajar menjahit dengan arwah sepupunya Wan Ibrahim Che Abdullah ketika berusia 16 tahun disebabkan minat mendalam dalam bidang jahitan.
Kata beliau, upah yang diambilnya bagi menjahit sepasang baju Melayu adalah RM130, manakala RM70 untuk jubah lelaki, jubah perempuan (RM50), selain baju kurung antara RM45 hingga RM50.