Titik panas HIDE: Premis diarah tutup kerana berisiko cetus kluster, kata KJ

Titik panas HIDE: Premis diarah tutup kerana berisiko cetus kluster, kata KJ

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata bukan semua titik panas HIDE disenaraikan kerana bimbang timbul situasi panik.

Senarai 150 lokasi dan premis bawah sistem amaran awal HIDE yang dikeluarkan baru-baru ini hanya membabitkan titik panas berskala besar.
PUTRAJAYA:
Kerajaan terpaksa mengarahkan pusat membeli-belah dalam senarai sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) ditutup tiga hari berikutan kesesakan orang ramai dan peningkatan risiko penularan Covid-19 menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata senarai 150 lokasi dan premis bawah sistem amaran awal HIDE yang dikeluarkan baru-baru ini hanya membabitkan titik panas berskala besar.

Selain pasar raya besar dan premis runcit, katanya, senarai itu turut merangkumi pejabat dan beberapa jenis premis lain.

“Senarai yang kita keluarkan berkenaan berdasarkan potensi tinggi kemungkinan penularan jangkitan di lokasi dan premis terbabit.

“Kita tidak menyenaraikan semua hotspot bagi mengelakkan situasi panik dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Khairy berkata, HIDE mampu mengenal pasti pusat beli-belah sebagai lokasi titik panas walaupun wujud titik buta apabila pengunjung tidak mengimbas kod QR MySejahtera.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan kenapa premis dan lokasi lain tidak disenaraikan sedangkan ia turut berpotensi menyebabkan penularan Covid-19.

Katanya, premis dan lokasi yang tersenarai itu berpotensi disenaraikan semula, jika ia masih mempunyai risiko penularan sama.

Terdahulu, Khairy berkata, sebanyak 1,660 lokasi berisiko mencetuskan kluster baharu dikesan susulan pelaksanaan HIDE, antaranya termasuk bazar, pejabat, pusat membeli-belah dan pasar raya serta majlis sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.