2,800 janji temu vaksin AstraZaneca pada 15, 16 Mei dijadual semula

2,800 janji temu vaksin AstraZaneca pada 15, 16 Mei dijadual semula

Penjadualan semula ke 17 hingga 23 Mei itu akan dimaklumkan kepada penerima vaksin AstraZaneca menerusi SMS dan notifikasi aplikasi MySejahtera mulai esok.

Khairy Jamaluddin berkata, penjadualan semula itu bertujuan memastikan penjarakan fizikal bagi mengurangkan kesesakan dan risiko penularan Covid-19 di PPV di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. (Gambar Twitter)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 2,800 daripada 19,000 janji temu suntikan vaksin AstraZaneca di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Mei ini dijadualkan semula ke 17 hingga 23 Mei.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, penjadualan semula janji temu itu bertujuan memastikan penjarakan fizikal bagi mengurangkan kesesakan dan risiko penularan Covid-19.

Katanya, perubahan tarikh itu akan dimaklumkan kepada penerima vaksin AstraZaneca menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan notifikasi aplikasi MySejahtera mulai esok.

“Hampir 19,000 janji temu vaksinasi ditetapkan pada dua hari tersebut, sejajar kapasiti penuh PPV AZ WTC.

“Bilangan ini akan dikurangkan kepada 8,100 janji temu sehari atau 16,200 untuk dua hari tersebut. Kapasiti penuh di WTC ialah lebih 9,000 sehari,” katanya dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata, CITF turut menambah bilangan dewan yang akan digunakan di PPV AZ WTC, dengan Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Ismail tidak akan digunakan lagi mulai 15 Mei ini, sebaliknya tiga dewan lebih luas akan dibuka, iaitu Dewan Merdeka, Dewan Tun Razak 3 dan Dewan Tun Razak 4.

Terdahulu, Khairy berkata, seramai 19,718 orang menerima satu dos vaksin AstraZaneca sejak program pelalian sukarela diperkenalkan enam hari lalu.

“Sewaktu kita membuka tempahan untuk vaksin AstraZeneca, lebih kurang 60,000 orang meletakkan nama mereka di bawah senarai menunggu kerana ketiadaan slot.

“Setiap hari, satu senarai menunggu dikeluarkan kepada PPV AstraZeneca. Mereka yang ada dalam senarai menunggu ini akan diberikan notifikasi di MySejahtera yang mereka telah dimasukkan dalam senarai menunggu janji temu pada hari tersebut.

“Penerima vaksin dalam senarai menunggu ini, jika dipanggil bolehlah menunjukkan notifikasi MySejahtera kepada anggota keselamatan dalam perjalanan ke PPV di sekatan jalan raya.”

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan Malaysia akan menerima 259,740 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada 19 hingga 21 Mei ini, menjadikan keseluruhan 2,490,930 dos vaksin itu yang bakal diterima negara sehingga minggu depan.

Katanya, penghantaran vaksin AstraZeneca yang kedua dijadualkan 20 Mei ini dan ketiga pada 1 Jun membabitkan 615,120 dos untuk sekali penghantaran.

Beliau turut menolak dakwaan kadar vaksinasi rendah di Malaysia kerana kadar penggunaan vaksin ketika ini mencecah 75%.

“Ini bermakna untuk setiap empat vaksin yang kami ada, tiga telah digunakan. Sememangnya, kami ingin meningkatkan lagi kadar ini ke 80%.

“Bagaimanapun, sudah pastinya kami tidak boleh pergi lebih tinggi daripada peratusan ini kerana perlu simpanan untuk dos kedua sebelum tibanya bekalan vaksin seperti dijadualkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.