
Lima individu, termasuk Arutchelvan, dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengah hari tadi berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Kami tidak jawab apa-apa. Kami beritahu mereka, kami akan jawab di mahkamah dan ini adalah pembaziran dana awam,” katanya kepada FMT sambil memberitahu polis sedia maklum mengenai perhimpunan tersebut.
Perhimpunan sama, yang diadakan untuk menekankan isu hak pekerja dan keselamatan pekerjaan, turut diadakan di George Town, Johor Bahru, Ipoh dan Seremban, dengan setiap perhimpunan itu dihadiri kurang 40 orang.
Arutchelvan berkata, polis hanya memanggil mereka yang menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur.
Sebelum perhimpunan itu diadakan, katanya, penganjur sudah berkomunikasi dengan polis.

“Kumpulan kami di Dataran kecil. Semuanya berjalan lancar dan polis kata kami mematuhi SOP,” Arutchelvan beritahu FMT selepas disoal siasat.
Beliau berkata, polis yang hadir sewaktu perhimpunan diadakan tidak mengarahkan mereka bersurai.
Antara individu lain yang dipanggil polis adalah ahli PSM, Sivarajan Arumugam and Nik Aziz Afiq, selain aktivis Wong Yan Ke serta Nalini Elumalai.
Arutchelvan berkata, tindakan memanggil lima individu itu sama seperti gangguan kerana kenyataan mereka boleh diambil secara dalam talian.
“Kami menerima notis soal siasat minggu lalu, tetapi tidak dinyatakan kami sedang disiasat mengikut seksyen mana. Sehingga kini, kami tak pasti apa kesalahannya, tapi mungkin di bawah Akta Perhimpunan Aman.
“Kami hanya diberitahu kami disiasat selepas satu laporan polis diterima.
“Saya setuju jika perhimpunan tersebut mencetuskan kekecohan dan orang ramai membuat laporan. Tetapi di sini, polis sendiri membuat laporan dan menyiasat laporan dibuat mereka sendiri.”