Lebih 1,300 kereta cuba rentas negeri diarah patah balik, kata polis

Lebih 1,300 kereta cuba rentas negeri diarah patah balik, kata polis

Ada di antara mereka yang melalui sekatan jalan raya dengan borang kebenaran tidak mempunyai tandatangan dan cap polis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Abdul Rahim Jaafar (dua dari kanan) melihat surat perjalanan pemandu dan penumpang kenderaan ketika meninjau sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur, Kuantan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Abd Rahim Jaafar berkata, sebanyak 1,333 kenderaan yang cuba merentas negeri di seluruh negara diarahkan berpatah balik semalam.

Katanya, ada di antara mereka yang melalui sekatan jalan raya (SJR) dengan borang kebenaran tidak mempunyai tandatangan dan cap polis.

“Mereka ini ada yang mencuba nasib, mungkin mereka rasa ada anggota polis yang akan terlepas pandang dan sebagainya,” katanya dipetik Bernama selepas meninjau SJR di Tanjung Lumpur, Kuantan.

Beliau berkata, sebanyak 361 SJR dilaksanakan susulan larangan rentas daerah dan negeri, kecuali dengan kebenaran polis bermula hari ini membabitkan lebih 6,500 anggota polis di seluruh negara.

Menerusi SJR, katanya, polis mengesan pelbagai taktik dan helah, antaranya menggunakan pas kerja untuk melepasi SJR, sedangkan mereka hendak pulang ke kampung untuk beraya dan tidak mempunyai surat kebenaran polis.

Mengenai tindakan individu yang membakar penghadang dan kawat duri didirikan polis kerana berang laluan tikus itu ditutup, Rahim menasihatkan semua pihak mematuhi undang-undang kerana langkah itu diambil demi memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau mengulas segelintir penduduk di Besut, Terengganu bertindak liar dengan membakar penghadang dan kawat duri pada Ahad lalu kerana terlalu marah laluan tikus ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.