Veteran tentera bangkit tolak politik toksik

Veteran tentera bangkit tolak politik toksik

Ketua penyelaras Parti Kemakmuran Negara, Shahruddin Omar berkata, veteran tentera mahu menjadi penawar kepada kemelut politik berkepentingan dan berpihak.

Shahruddin Omar, yang berkhidmat dengan Rejimen Askar Melayu Diraja berkata, layanan terhadap veteran tentera di negara ini ‘mengarut’. (Gambar Frankie D’cruz)
KUALA LUMPUR:
Veteran angkatan tentera negara bersiap sedia untuk memasuki dunia politik sewaktu Malaysia tenggelam dalam politik toksik dan sangat berpihak.

Mampukah mereka bertahan dalam politik yang begitu berpihak dan kotor?

Ketua penyelaras Parti Kemakmuran Negara, Kapten (Bersara) Shahruddin Omar memberitahu FMT dalam satu temu bual bahawa veteran tentera menawarkan diri sebagai penawar kepada kemelut berpihak, politik berkepentingan, pentadbiran yang lemah dan rasuah.

Parti tersebut, yang dikenali dengan singkatan “Kemakmuran” dilancarkan Rabu lepas.

Shahruddin berkata, misi mereka ialah untuk menarik keluar negara dari selut politik dengan pendekatan mendahulukan orang lain yang menjadi teras perkhidmatan tentera selama ini.

“Mereka yang berkhidmat dalam tentera sentiasa mendahulukan orang lain,” kata Shahruddin yang juga presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia dengan lebih 170,000 ahli.

Beliau juga bercakap tentang layanan lemah terhadap veteran tentera dengan menyifatkannya sebagai “mengarut”, sekali gus berikrar untuk melayan mereka dengan baik sebagai prinsip utama parti berkenaan.

Petikan temu bual:

Adakah veteran tentera akan diterima sebagai sebuah kumpulan dalam politik?

“Kita perlukan pendekatan baharu dalam politik dan orang ramai tidak harus melihat veteran tentera sebagai kumpulan yang terpisah. Kami berjuang untuk menjamin keselamatan negara daripada ancaman luar dan kini kamu mahu melindungi keadaan dalam negeri melalui Parlimen.

“Jika suara veteran tentera diabaikan, ia boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam komuniti,” katanya.

Dengan kerajaan tidak bergerak ke mana-mana, veteran tentera menyedari keperluan mempunyai suara tunggal berhubung komitmen bersama mereka untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik.

Beliau berkata, veteran tentera sangat sensitif terhadap apa-apa yang berlaku di negara ini.

“Apabila negara tidak mendapat keadaan yang sepatutnya dinikmatinya, kami juga berasa kecewa dan sedih.

“Kami mahu pengorbanan kami dinikmati oleh rakyat,” kata beliau.

Sejak berapa lamakah rasa kecewa ini dialami?

“Apabila pemberontak komunis meletak senjata pada 1989, negara ini dan rakyat bebas daripada kekacauan. Pada waktu itu kami menjangka ahli politik yang diberikan mandat akan mentadbir negara ini secara bermaruah.

“Malangnya selepas lebih 30 tahun, banyak masalah gagal diselesaikan dan negara kelihatan tidak bergerak ke mana-mana.”

Apakah veteran tentera akan menjadikan sistem pentadbiran lebih baik?

“Kami sentiasa mendahulukan negara daripada diri sendiri dan ia penting dan perlu bagi membolehkan Malaysia mencapai kemakmuran.

“Kami kurang berpihak atau parokial, lebih objektif serta dipacu oleh matlamat berbanding ahli politik biasa.

Beliau berkata, veteran tentera menerima rantaian arahan yang sama seperti orang biasa dan mempunyai keberanian untuk membaiki kerosakan politik negara.

“Ahli politik tidak lagi bersedia mendengar pendapat orang lain dan keadaan itu menjadi punca keadaan yang dialami sekarang.”

Berhubung kemampuan veteran tentera berdepan dengan isu yang boleh memecahkan rakyat, beliau berkata, ramai bekas tentera pernah berkhidmat di serata dunia dan terbiasa dengan kebudayaan dan cara hidup masyarakat lain.

Justeru katanya, menangani isu kaum, agama dan masyarakat bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka.

“Dorongan kami ialah untuk berkhidmat dan menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar, iaitu sesuatu yang sukar ditemui dalam politik hari ini.

Beliau berkata, mereka yang memegang jawatan awam harus bertanggungjawab kepada pasukan dan pengundi.

Faktor yang menyatukan veteran tentera

“Kami adalah parti berbilang kaum. Semuanya berdiri di atas sikap saling mempercayai dan identiti bersama.

“Kami sedar tentang kepentingan wujudnya satu suara tunggal berhubung komitmen bersama untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

“Kami mahu memastikan kerajaan yang memerintah stabil dan boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Mungkinkah golongan muda berasa terasing daripada parti yang dianggotai veteran tentera?

“Apabila anda memimpin, anda melakukannya dengan kebolehan. Anda harus pastikan golongan muda melihat keikhlasan yang ditunjukkan dan pada masa sama belajar dan bersedia untuk menjadi pemimpin masa depan.

“Mana-mana pertubuhan belia, NGO atau parti politik yang selari dengan misi kami sangat dialu-alukan untuk turut serta.”

Apakah isu berkait bekas tentera yang mencetuskan aktivisme politik?

“Sebahagian besar daripada 306,000 veteran tentera di seluruh negara percaya keprihatinan mereka tidak diambil penting oleh kerajaan lepas dan juga sekarang.

“Rasa tidak puas hati serta rungutan mereka berhubung ketaksaksamaan pencen, kebajikan anggota dan keluarga serta keadaan keselamatan dan iklim ekonomi negara kini.

“Keselamatan hakiki perlukan gaji yang baik, perumahan yang selesa serta sokongan kepada anggota dan keluarga mereka, termasuk akses pendidikan kepada anak-anak mereka dan saluran yang memungkinkan suara mereka didengar.”

Bilangan calon dalam PRU15?

“Kami merancang untuk bertanding di 50 kerusi Parlimen, tetapi jika mana-mana NGO atau parti politik mahu bekerjasama, maka kami mensasarkan 150 kerusi di peringkat Parlimen dan negeri.

“Terdapat ramai bekas tentera yang berkelayakan tinggi dengan ijazah sarjana dan PhD daripada semua kumpulan umur dan pangkat.

“Kemahiran mereka akan membantu parti memberi tumpuan kepada isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan keselamatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.