Awie didakwa langgar SOP dalam majlis misi kemanusiaan

Awie didakwa langgar SOP dalam majlis misi kemanusiaan

Polis menerima laporan pada 12.43 tengah hari tadi yang memaklumkan berlaku pelanggaran SOP oleh selebriti itu ketika menjayakan majlis berkenaan.

Video tular di media sosial berdurasi 42 saat memaparkan penyanyi kumpulan Wings, Awie, bersama beberapa individu tidak memakai pelitup muka.
MELAKA:
Penyanyi dan pelakon, Awie akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan susulan dakwaan pelanggaran SOP dalam satu majlis.

Ia susulan video tular di media sosial berdurasi 42 saat memaparkan penyanyi kumpulan Wings itu bersama beberapa individu tidak memakai pelitup muka.

Difahamkan, majlis itu berlangsung pada 30 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Mohd Sukri Kaman, berkata penganjur dan  beberapa individu yang terbabit turut akan dipanggil dalam masa terdekat.

Katanya, polis menerima laporan pada 12.43 tengah hari tadi yang memaklumkan berlaku pelanggaran SOP oleh selebriti itu ketika menjayakan majlis misi kemanusiaan.

“Semua yang terbabit dalam kes ini termasuk penganjur program akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

“Siasatan akan dilengkapkan dengan segera dan akan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk sebarang keputusan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Sukri berkata, polis memohon individu yang terbabit atau mempunyai maklumat untuk hadir bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Pemulihan) No.3, 2021,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.