PSB boleh pertahan kerusi dimenangi atas tiket BN Sarawak, kata penganalisis

PSB boleh pertahan kerusi dimenangi atas tiket BN Sarawak, kata penganalisis

Empat kerusi, iaitu Opar, Dudong, Bawang Assan dan Engkili adalah antara 11 kerusi yang dimenangi oleh calon langsung BN pada 2016.

Penganalisis Jeniri Amir dan Awang Azman Pawi bersetuju bahawa kebanyakan calon langsung BN Sarawak dalam pilihan raya negeri lepas selamat kerana mereka kini menyertai GPS.
PETALING JAYA:
Walaupun “masih baharu”, namun Parti Sarawak Bersatu (PSB) yakin ia boleh menggagalkan percubaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah untuk menguasai empat kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.

Empat kerusi itu, Opar, Dudong, Bawang Assan dan Engkili adalah antara 11 kerusi yang dimenangi oleh calon langsung Barisan Nasional (BN) pada 2016.

Pada masa itu, calon langsung BN dilihat sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan perbalahan antara parti komponen BN di negeri itu, iaitu SUPP dan SPDP), selain parti serpihan masing-masing (UPP dan TERAS).

Daripada 11 kerusi itu, tujuh kemudiannya menyertai parti komponen utama GPS, iaitu PBB, sementara yang lain kekal bersama-sama UPP.

Berikutan pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, UPP dijenamakan semula sebagai PSB sebelum berpisah daripada GPS.

Kini, kerusi parti pembangkang itu sekali lagi menjadi rebutan.

Jeniri Amir.

Bagaimanapun, walaupun berdepan kemungkinan menghadapi kekuatan GPS, felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir percaya PSB mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan empat kerusi terbabit, terutamanya jika parti pembangkang di peringkat persekutuan, iaitu DAP dan PKR, tidak bertanding.

“PBB dijangka menuntut tujuh kerusi yang dimenangi oleh calon langsung BN, tetapi saya tidak menjangka akan berlaku pertikaian mengenai baki empat kerusi itu. Besar kemungkinan ia akan ditandingi oleh SUPP kerana PSB merupakan parti serpihannya.”

Jeniri percaya PSB boleh menang di Bawang Assan dan Dudong kerana ia merupakan kerusi majoriti Cina.

“Mereka juga boleh menang di Opar (majoriti Bidayuh) dan Engkili (majoriti Iban) walaupun ia agak sukar susulan rekod pencapaian GPS.

Beliau berkata, PSB berdepan masalah sekiranya peraturan Covid-19 menyekat kempen peringkat di akar umbi.

Sementara itu, penganalisis sosio politik dari Universiti Malaya Awang Azman Pawi berkata, beliau tidak melihat kemungkinan DAP dan PKR akan bekerjasama dengan PSB kerana sejarah parti itu dengan GPS.

Awang Azman Pawi

“Bekerjasama dengan PSB dilihat tidak memberi manfaat kepada Pakatan Harapan (PH) kerana ia bermakna berkongsi kerusi strategik.”

Katanya, bagi GPS pula, beliau tidak percaya kerusi yang sebelum ini dipertikaian itu akan menjadi isu sekali lagi kerana kebanyakan bekas wakil rakyat langsung BN sudah menyertai PBB.

“Jadi individu seperti William Mawan Ikom (Pakan), Miro Simuh (Serembu), Gerawat Gala (Mulu), Rosey Yunus (Bekenu), Paulus Gumbang (Batu Danau), John Ilus (Bukit Semuja) dan Jerip Susil (Mambong) selama daripada pertikaian.”

Beliau juga percaya GPS tidak perlu menggunakan calon langsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.