
Lelaki itu nekad bertindak demikian susulan permintaan daging tempatan yang tinggi pada Ramadan selain harga daging yang meningkat ketika ini.
Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Azhari Nusi, berkata hasil maklumat diterima anggotanya membuat pemerhatian awal di tebing Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Mek Gombak kira-kira 10.30 pagi.
“Hasil pemerhatian anggota bertugas mendapati beberapa lelaki yang tidak dikenali mengheret beberapa ekor lembu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok dari sebelah sempadan Thailand ke Malaysia.
“Seterusnya anggota PGA7 telah mengekori kumpulan lelaki yang mengheret lembu itu ke dalam hutan berhampiran dipercayai untuk disembunyikan,” katanya, menurut laporan Bernama.
Bagaimanapun, kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu tersebut bertindak melarikan diri di kawasan semak berhampiran dengan melepaskan tali yang terikat pada lembu selepas menyedari kedatangan PGA7.
“Pasukan Strike Force cuba mengejar tetapi tidak berjaya mengesan kumpulan lelaki tersebut yang disyaki sudah menghilangkan diri ke dalam hutan.
“Hasil pemeriksaan di kawasan semak berhampiran, pihak PGA7 menemukan 13 ekor lembu. Pasukan serbuan menunggu selama 30 minit di kawasan berdekatan tetapi tiada individu datang menuntut lembu tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, PGA7 merampas semua lembu tersebut dan dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) 201.