Polis mati tertembak: 3 rakan direman bantu siasatan

Polis mati tertembak: 3 rakan direman bantu siasatan

Berdasarkan siasatan awal, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa.

SIBU:
Tiga anggota polis ditahan reman hingga 14 Mei bagi membantu siasatan kes seorang konstabel yang mati tertembak oleh rakan sekerja, di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9, Taman Permai petang semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Syukri Mokhtar hari ini.

Ketua Polis Sibu, Stanley Jonathan Ringgit, berkata ketiga-tiga mereka yang berusia 21, 23, dan 27 tahun merupakan rakan serumah.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa yang didiami rakan setugasnya itu untuk bermain permainan komputer sebelum waktu berbuka.

Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa.

Jenazah mangsa akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Pahang selepas semua urusan selesai, katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam semalam, anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan.

Mangsa yang baru sebulan setengah ditugaskan di Sibu selepas menamatkan latihan asas kepolisan, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.