Perluas pendaftaran sukarela untuk vaksin lain, Putrajaya diberitahu

Perluas pendaftaran sukarela untuk vaksin lain, Putrajaya diberitahu

Persatuan Hospital Swasta Malaysia berkata, anggotanya boleh membantu proses pemberian vaksin bagi program ad hoc sedemikian.

PETALING JAYA:
Proses sukarela siapa dahulu dia dapat yang digunakan dalam pemberian vaksin AstraZeneca harus diperluas kepada vaksin lain dalam portfolio negara, kata kumpulan perubatan.

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, susulan kejayaan program pilihan itu hujung minggu lepas yang menyaksikan 268,000 individu mendaftar dalam tempoh beberapa jam, kerajaan wajar menawarkan program serupa untuk vaksin Pfizer/BioNTech, Sinovac dan lain-lain yang tiba.

“Ia boleh dikawal selia secara ketat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) berdasarkan stok yang ada tanpa menafikan akses kumpulan rentan lain.

Cadangan vaksinasi ad hoc dari masa ke masa boleh diurus oleh hospital swasta berdasarkan temu janji MySejahtera, kata presiden APHM, Dr Kuljit Singh.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, langkah itu sangat membantu individu yang memerlukan vaksinasi awal, seperti pekerja barisan hadapan ekonomi dan individu yang perlu melakukan perjalanan ke luar negara.

“Kami percaya sekiranya orang ramai yakin berhubung kesediaan vaksin dan opsyen divaksin lebih awal, maka banyak berita palsu dan spekulasi yang disebarkan banyak pihak akan tamat.”

Berhubung khabar angin yang tersebar atas talian bahawa hospital swasta menjual vaksin, Kuljit berkata, setakat ini APHM tidak menerima maklumat mengenai perkara itu daripada mana-mana anggotanya.

Vaksin AstraZeneca dikeluarkan daripada program vaksinasi kebangsaan selepas orang ramai menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatannya susulan terdapat bukti menunjukkan ia menyebabkan pembekuan darah dalam kes yang sangat terpencil.

Bagi menghindari pembaziran vaksin “yang terbukti selamat dan berkesan”, menteri penyelaras Khairy Jamaluddin berkata, vaksin itu akan hanya diberikan kepada individu yang mahukannya bermula di Lembah Klang.

Beliau berkata, dengan ketibaan lebih banyak bekalan, opsyen pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca akan dibuka kepada penduduk negeri lain selain Sarawak yang menolak penggunaan vaksin tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.