Kami tak cadang ambil alih Lapangan Terbang Subang, kata WCT

Kami tak cadang ambil alih Lapangan Terbang Subang, kata WCT

Subang Skypark Sdn Bhd mencadangkan konsesi semula lapangan terbang itu, kata syarikat induknya kepada Bursa Malaysia.

Subang Skypark, yang dimiliki WCT Holdings, berkata ia akan mengendalikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di bawah pajakan, dengan kerajaan akan terus memilik tanah itu dan lapangan terbang berkenaan.
PETALING JAYA:
WCT Holdings Bhd yang dikuasai taikun hartanah Desmond Lim berkata, anak syarikatnya mencadangkan konsesi semula, bukannya mengambil alih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) seperti dilaporkan beberapa media.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, WCT Holdings berkata, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) akan mengendalikan lapangan terbang itu di bawah pajakan, dengan kerajaan akan terus memilik tanah itu dan lapangan terbang terbabit.

“Cadangan itu kini di peringkat kertas konsep yang diserahkan SSSB kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada 1 Mac lalu.

“Cadangan itu masih di peringkat awal,” katanya dipetik Bernama.

Menurut WCT, penyerahan kertas konsep kepada kementerian berkaitan ialah amalan biasa kerana syarikat itu sentiasa proaktif dalam mencari peluang perniagaan baharu.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan hari ini berkata, cadangan pembangunan semula LTSAAS masih di peringkat awal.

Katanya, cadangan daripada pasaran kepada kerajaan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada adalah perkara biasa dan sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan dibuat Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.