Pengambilalihan LTSAAS akan jejas penstrukturan semula Malaysia Airlines, kata Ahli Parlimen

Pengambilalihan LTSAAS akan jejas penstrukturan semula Malaysia Airlines, kata Ahli Parlimen

MAHB akan kehilangan pendapatan RM11.9 bilion pada masa akan datang jika lapangan terbang Subang tidak lagi berada bawahnya, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PETALING JAYA:
Cadangan pengambilalihan lapangan terbang Subang akan mempengaruhi pelan penstrukturan semula oleh Malaysia Aviation Group, iaitu syarikat induk Malaysia Airlines Bhd, kata seorang bekas menteri.

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan pembangunan oleh WCT Holdings Bhd itu akan “membunuh” pelan penstrukturan semula.

Katanya, menurut surat Khazanah Nasional bertarikh 11 Mei yang ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sebanyak RM28 bilion dibelanjakan setakat ini untuk pelan penstrukturan semula dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar itu berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan kehilangan pendapatan RM11.9 bilion pada masa akan datang jika Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang tidak lagi menjadi sebahagian daripada rangkaian 39 lapangan terbang MAHB di negara ini.

Selain itu, lapangan terbang Subang tidak lagi akan menjadi hab aeroangkasa jika tidak berada di bawah MAHB, tambahnya.

Syed Saddiq mempersoalkan keraguan kerajaan dalam menolak cadangan itu walaupun menerima banyak kritikan daripada kumpulan, kesatuan dan pemegang taruh.

“Apa yang bagus sangat tentang rancangan pembangunan komersial ini?”

Beliau menggesa kerajaan untuk fokus kepada pelan penjanaan semula MAHB bagi lapangan terbang Subang yang katanya, “lebih strategik dan menguntungkan”.

“Lapangan terbang Subang menyediakan lebih 4,000 pekerjaan setakat ini. Dengan rancangan ini, ia boleh menampung sehingga 19,000 pekerjaan langsung dan lebih 70,000 pekerjaan tidak langsung,” katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan Desmond Lim, pemegang saham terbesar syarikat pembinaan dan pembangunan harta tanah WCT Holdings, dilaporkan mahu memperoleh dan mengendalikan lapangan terbang Subang hingga 2092 melalui anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn Bhd.

Cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan dengan anggaran pelaburan awal sebanyak RM3.7 bilion.

Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion diperuntukkan untuk terminal penumpang dan terminal jet eksekutif yang akan dibuka pada 2027, manakala selebihnya akan dibelanjakan dalam tempoh sedekad akan datang untuk bandar lapangan terbang itu.

Menerusi pelan penjanaan semula MAHB yang diumumkan pada April, bangunan Terminal 2 yang tidak lagi digunakan akan diruntuhkan dan diganti dengan kerja-kerja pembangunan semula utama yang lain.

Syarikat berkaitan kerajaan itu akan membelanjakan RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, pelan penjanaan semula berkenaan akan menggandakan operator penerbangan kepada lebih 100, mewujudkan dan menyokong tenaga kerja berkemahiran tinggi yang terdiri daripada 19,000 pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.