Jangan ganggu lapangan terbang Subang, Putrajaya diberitahu

Jangan ganggu lapangan terbang Subang, Putrajaya diberitahu

Pakar pengangkutan Goh Bok Yen berkata, lapangan terbang itu berfungsi dengan baik dan sesuai dari segi geografi untuk Lembah Klang.

PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan dan timbalan menteri pengangkutan menggesa supaya lapangan terbang Subang tidak diganggu susulan laporan bahawa sebuah syarikat milik ahli perniagaan Desmond Lim merancang untuk mengambil alih kemudahan itu.

Pakar perunding pengangkutan selama lebih 30 tahun Goh Bok Yen berkata, lapangan terbang itu sesuai dari segi geografi dan fungsi untuk memenuhi keperluan Lembah Klang, dengan menambah bahawa ia berperanan baik sebagai hab penerbangan domestik dan jarak sederhana serantau.

“Jelas langkah memisahkannya daripada industri penerbangan atau memperkecil potensi peranannya adalah tidak bijak, terutama kerana kedudukannya yang strategik dan peranan besarnya untuk negara,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau tidak menyokong idea umum untuk menukar aset dan hab pengangkutan serantau yang utama itu menjadi projek swasta, dengan menambah kemudahan itu harus dilihat sebagai aset negara.

“Rancangan, operasi dan pembangunan aset ini mesti dilihat di peringkat nasional,” katanya.

Goh Bok Yen.

Goh menggesa supaya fokus diberi untuk meningkatkan sumbangan lapangan terbang itu kepada industri penerbangan dan pembangunan negara, bukan menukarnya menjadi sebuah lagi pusat beli belah atau pusat komersial.

Beliau berkata, taikun perniagaan telah lama mensasarkan lapangan terbang itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, sejak awal 1980-an.

Dilaporkan bahawa Lim, pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan dan pemaju hartanah WCT Holding s Bhd, mahu mengambil alih dan mengendalikan lapangan terbang Subang sehingga 2092 melalui anak syarikatnya Subang Skypark Sdn Bhd.

Bagaimanapun pada Jumaat WCT berkata, laporan berhubung “pengambilalihan” lapangan terbang itu merupakan cadangan pembaharuan konsesi, bukan rancangan untuk mengambil alih.

WCT berkata, ia akan mengendalikan lapangan terbang itu melalui pajakan dengan kerajaan terus memilik tanah dan lapangan terbang tersebut.

Ia berkata, cadangan itu hanyalah kertas konsep yang dikemukakan oleh Subang Skypark kepada kerajaan pada 1 Mac.

Aziz Kaprawi

Bekas timbalan menteri pengangkutan Aziz Kaprawi berkata, cadangan itu tidak baik untuk negara, dengan menegaskan bahawa Putrajaya telah menjual banyak aset kerajaan.

Dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad merupakan antara pemegang saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) beliau berkata, langkah menjual lapangan terbang itu kepada taikun berkenaan tidak dibuat atas kepentingan rakyat.

“Lapangan terbang Subang tidak jauh dari KLIA. Ia saling melengkapi dan tidak harus bersaing antara satu sama lain.

“Syarikat yang mencadangkan (pengambilalihan) itu hanya bermatlamatkan keuntungan, tetapi lapangan tersebut adalah aset strategik negara, bukan hanya untuk tujuan perniagaan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.