Cadangan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang ‘masih peringkat awal’, kata kementerian

Cadangan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang ‘masih peringkat awal’, kata kementerian

Kementerian Pengangkutan berkata Lapangan Terbang Subang memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik 'demi masa depan lanskap penerbangan yang lebih meluas'.

Difahamkan WCT Holdings mencadangkan pelaburan awal sebanyak RM3.7 bilion untuk membangunkan lapangan terbang Subang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) masih pada peringkat awal’, kata Kementerian Pengangkutan menjawab laporan media berhubung cadangan sebuah syarikat dikuasai taikun hartanah mengambil alih LTSAAS.

Kementerian berkata cadangan daripada pasaran kepada kerajaan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada adalah perkara biasa.

“Dalam kes Lapangan Terbang Subang, yang telah menjadi kemudahan penting dan pusat bandar utama bagi penduduk Lembah Klang, ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan lanskap penerbangan Malaysia yang lebih meluas,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian berkata sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

Laporan sebuah portal semalam menyebut bahawa WCT Holdings Bhd, yang dikuasai taikun hartanah Desmond Lim, telah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk mengambil alih lapangan terbang itu bagi pembangunan komersial, termasuk pusat beli-belah, pejabat dan tempat pameran.

Menurut sumber, cadangan WCT itu, sekiranya diluluskan kerajaan, boleh menjejaskan KLIA, kerana ia juga berhasrat untuk menjalankan perkhidmatan freight ekspres dan perjalanan udara komersial di LTSAAS.

Semalam, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkata ia tidak menerima maklumat mengenai pengambilalihan LTSAAS di Subang dan kawasan sekitarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.