Tamat kontrak KVDT2, kerajaan fail rayuan cabar tuntutan kontraktor

Tamat kontrak KVDT2, kerajaan fail rayuan cabar tuntutan kontraktor

Rayuan dikemukakan tidak lama selepas Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan semakan kehakiman oleh Dhaya Maju LTAT pada 14 April.

KVDT2 adalah salah satu daripada 101 projek yang menurut kerajaan Perikatan Nasional diberikan melalui rundingan langsung sewaktu Pakatan Harapan memerintah.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kontraktor Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) mencabar keputusan menamatkan kontraknya.

Rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan tidak lama selepas Mahkamah Tinggi mengizinkan Dhaya Maju LTAT untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman pada 14 April.

Menurut seorang pegawai Pejabat Peguam Negara (AGC), yang mewakili kerajaan dan Kementerian Pengangkutan, notis rayuan difailkan pada 20 April.

Hakim Noorin Badaruddin, ketika memerintahkan cabaran kehakiman itu didengar dengan merit penuh, turut mengeluarkan arahan menangguhkan keputusan kerajaan membuka tender projek tersebut sementara menunggu keputusan kes Dhaya Maju LTAT.

Dhaya Maju LTAT juga memfailkan dua tuntutan undang-undang berasingan terhadap kerajaan berhubung penamatan kontrak.

Sebuah lagi Mahkamah Tinggi minggu lalu mendengar tuntutan syarikat tersebut yang memohon injunksi bagi tuntutan keduanya terhadap kerajaan.

Hakim Lim Chong Fong menetapkan 4 Jun bagi membuat keputusan.

Tahun lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju menukar projek menaik taraf KVDT2 kepada tender terbuka dan membatalkan kontrak rundingan langsung selepas mendapati kos projek itu melebihi kos asal.

KVDT2 adalah salah satu daripada 101 projek, melibatkan sejumlah RM6.61 bilion, yang menurut kerajaan Perikatan Nasional, diberikan melalui rundingan langsung sewaktu Pakatan Harapan memerintah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.