Benarkah program imunisasi perlahan? Ya dan tidak

Benarkah program imunisasi perlahan? Ya dan tidak

Bilangan individu yang divaksin nampak rendah ketika ini, tetapi ia tidak akan kekal begitu kerana sektor swasta mula dimanfaatkan untuk mempercepat proses vaksinasi.

Kerajaan mensasarkan 23.6 juta orang akan divaksin pada akhir program imunisasi kebangsaan.
PETALING JAYA:
Banyak negara telah memulakan program imunisasi masing-masing, tetapi kemajuannya berbeza-beza. Sesetengahnya berada jauh di depan, sementara yang lain tertinggal dan bergelut untuk memulakannya.

Pelbagai pandangan dibuat berhubung kadar inokulasi negara dengan sesetengah ahli politik ternama mengkritiknya sebagai perlahan.

FMT memeriksa pencapaian Malaysia dan sama ada pendapat para pengkritik tepat.

Sejauh manakah pencapaian kita?

Respons terhadap soalan ini bergantung, terutamanya pada sejauh mana keyakinan anda terhadap rancangan kerajaan untuk mempercepatkan proses tersebut.

Menurut rancangan rasmi kerajaan mensasarkan 23.6 juta orang berjaya divaksinasi pada akhir program imunisasi negara.

Program itu dijalankan dalam tiga fasa, dengan petugas barisan hadapan diberi keutamaan dalam fasa pertama. Kumpulan berisiko tinggi datang selepas itu dan orang lain diletakkan dalam fasa ketiga.

Pencapaian negara pada fasa pertama

Fasa pertama bermula dari 24 Feb hingga 30 April dengan sasaran 500,000 orang divaksin.

Angka sebenar individu yang divaksin pada fasa ini ialah 552,862 orang pada kadar imunisasi harian seramai 23,410 individu.

Pencapaian Malaysia pada fasa ini melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dengan 895,204 menerima satu daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac yang diperlukan.

Kenapakah ia dikatakan ia perlahan?

Walaupun negara mencapai sasaran fasa pertamanya, namun angka itu mewakili sejumlah kecil daripada jumlah penerima keseluruhan.

Pada April, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik kerajaan susulan kemajuan program vaksinasi kebangsaan yang perlahan dengan berkata, kadar inokulasi yang dicapai “tidak boleh diterima”.

Beliau membandingkan pencapaian negara dengan Amerika Syarikat yang menyaksikan Presiden Joe Biden “mengambil semua langkah” untuk mempercepatkan proses vaksinasi di negara itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga berkata, proses vaksinasi negara jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan banyak negara lain.

Benarkah dakwaan mereka?

Jawapannya ialah “ya” dan juga “tidak”.

Dengan kadar purata dos yang dijalankan, Malaysia memerlukan 5.86 tahun untuk mencapai tahap penanda aras 80% imuniti kelompok. Angka ini tentu membimbangkan kerana 2027 terasa terlalu jauh lagi.

Dengan fasa kedua program vaksinasi yang bermula pada 19 April dan dijangka tamat Ogos, sementara fasa ketiga dijadualkan bermula bulan ini hingga hujung Februari tahun depan, kita dilihat tidak mempunyai cukup masa untuk memvaksin baki 23 juta orang lagi.

Malaysia perlu memvaksin purata lebih 150,000 individu sehari untuk mencapai sasaran itu, iaitu enam kali ganda kadar sekarang. Ia merupakan tugas sukar.

Bolehkah ia dicapai?

Dengan hospital swasta dijadual terlibat sama dalam pemberian vaksin pada fasa kedua dan ketiga dengan kerajaan menyediakan vaksin daripada pembekalnya, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) percaya doktor persendirian (GP) boleh menambah 150,000 suntikan sehari selain jumlah yang disediakan di pusat kendalian kerajaan.

MMA berkata, ia hanya memerlukan penglibatan kira-kira 5,000 GP di seluruh negara. Ia percaya seorang doktor boleh memberi 30 suntikan sehari.

Selain itu, menteri penyelaras program vaksinasi Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, hospital swasta juga boleh berunding dengan pengeluar bagi mendapatkan bekalan vaksin mereka sendiri.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa sistem selari itu hanya boleh dilaksanakan pada setengah kedua tahun ini.

Gabungan kadar vaksinasi semasa kerajaan dengan unjuran MMA, selain mengambil kira program kendalian sektor swasta, angka harian 150,000 suntikan kelihatan boleh dicapai.

Kita hanya memerlukan sedikit masa untuk menyaksikan kadar vaksinasi negara meningkat.

Persoalan utama bukanlah sama ada ia boleh dicapai, tetapi sama ada ia akan dilakukan. Khairy dilaporkan berkata, bekalan vaksin sedia bermasalah.

Isu itu, selain kadar pendaftaran yang rendah dalam kalangan GP dan isu lain mungkin menjadi penghalang ke arah mencapai sasaran.

Wujud potensi untuk meningkatkan kadar vaksinasi negara, tetapi rakyat perlu menunggu sama ada potensi itu tercapai atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.