Jangan salah guna gelembung perjalanan untuk tiket balik raya, agensi pelancongan boleh kena tindakan

Jangan salah guna gelembung perjalanan untuk tiket balik raya, agensi pelancongan boleh kena tindakan

Agensi pelancongan yang tidak jujur dalam urusan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Ammar Abd Ghapar. (Gambar Bernama)
KUALA PERLIS:
Agensi pelancongan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tiada pihak menyalahgunakan gelembung perjalanan yang ditawarkan oleh mereka sebagai tiket untuk balik beraya ke kampung.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Ammar Abd Ghapar mengingatkan agensi pelancongan supaya jujur dalam menerima tempahan daripada orang ramai agar tiada pihak mengambil kesempatan daripada kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan ini.

“Mana-mana agensi pelancongan yang tidak jujur dalam urusan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan peraturan lain di bawahnya,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi ramah mesra industri pelancongan dan rakan media negeri Perlis.

Menurut akta tersebut agensi pelancongan dan pemandu pelancongan boleh dikenakan tindakan oleh Pesuruhjaya Pelancongan Malaysia.

Beliau menasihati orang ramai agar mematuhi ketetapan kerajaan dan tidak mengambil peluang tersebut untuk balik beraya ke kampung.

“Kita ada dengar bahawa terdapat pihak yang menguna ‘travel bubble’ untuk balik kampung namun cara tidak akan menghalalkan niat dan ia merupakan tanggungjawab diri sendiri untuk menentukanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ammar berkata pihaknya akan mengenal pasti produk-produk pelancongan di negeri ini sebagai persiapan merancakkan kembali sektor pelancongan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan apabila wabak Covid-19 beransur baik selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.