
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua remaja lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun itu ditahan susulan laporan berhubung kes pecah pejabat SMK Dato Hamzah di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Menurut laporan daripada wakil sekolah berkenaan, beberapa barang milik sekolah itu hilang termasuk tujuh unit komputer riba, 11 unit telefon bimbit dan wang tunai RM2,000, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM20,000.
“Susulan laporan itu, polis Klang Selatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah berjaya menahan lima suspek kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan,” kata Shamsul dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua remaja tersebut tercicir daripada persekolahan.
Ketika ditahan, kata beliau, pihaknya turut merampas empat telefon bimbit yang tertera Harta Kerajaan SMK Dato Hamzah, selain empat telefon bimbit lain pelbagai jenama.
Shamsul berkata, kelima-lima suspek direman lima hari sehingga hari ini dan akan ditahan semula bersabit kes pecah sekolah yang lain di daerah Klang Selatan.
Menurut beliau, kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat bersama enam lagi rakan subahat yang masih bebas.
“Suspek mengaku bergiat aktif dengan kes pecah sekolah sejak Disember lalu di sekitar Daerah Klang Selatan membabitkan lima sekolah, Klang Utara (dua) dan Shah Alam (empat).
“Mereka juga dipercayai terbabit dalam kes pecah sekolah di Petaling Jaya (dua), Kuala Kubu Bharu (dua), Subang Jaya (satu) dan Kuala Lumpur (satu),” tambah beliau.