Rentas daerah, negeri untuk vaksinasi tak perlu kebenaran polis, kata KJ

Rentas daerah, negeri untuk vaksinasi tak perlu kebenaran polis, kata KJ

Hanya perlu tunjuk butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan apa yang dinyatakan Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan pelaksanaan PKP bagi enam daerah di Selangor hari ini.
PETALING JAYA:
Individu yang dijadualkan menerima vaksin tidak perlu mendapat kebenaran polis untuk merentas daerah atau negeri bagi tujuan tersebut, menurut Khairy Jamaluddin.

“(Individu berkenaan) hanya perlu menunjukkan butiran janji temu yang dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS ketika melalui sekatan jalan raya.

“Tidak perlu memohon surat kebenaran rentas daerah serta negeri daripada pihak polis,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Khairy mengeluarkan kenyataan ini selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata, individu yang perlu merentas daerah atau negeri bagi mendapatkan suntikan vaksin mesti mendapatkan surat kebenaran polis yang standard.

Ismail berkata demikian ketika mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi enam daerah di Selangor, seluruh Kelantan dan lima daerah di Kedah bermula 6 Mei ini.

Perjalanan rentas daerah dan negeri dilarang ketika PKP.

Terdahulu, Putrajaya menawarkan pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela dan kesemua 268,000 slot bagi penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor habis ditempah dalam tempoh kurang empat jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.