
Mahathir, dalam blognya Chedet, mencadangkan pembelajaran video standard yang disediakan pakar pendidikan luar dan tempatan wajar diperkenalkan di sekolah.
Guru kelas kemudiannya dibimbing dan boleh mengajar mengikut video tersebut, katanya.
“Sudah tiba masanya kita beralih kepada pembelajaran video yang dirakam yang dihasilkan oleh guru terbaik di dalam dan luar negara (untuk bahasa Inggeris, sains dan matematik dalam bahasa Inggeris).
“Oleh kerana rakaman pelajaran dalam video dengan ilustrasi dan animasi dibuat guru terbaik, pelajar di semua sekolah di negara ini akan mendapat faedah untuk diajar oleh guru yang sama,” katanya.
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) berkata cadangan Mahathir bukanlah sesuatu yang sama sekali baru bagi sistem pendidikan, dan pernah dicuba bertahun lalu.
Memetik dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah kerajaan, yang turut diperkenalkan Mahathir pada tahun 2003, Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata idea memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan bahan pembelajaran sudah ada pada waktu itu.
“Ini bukan benda baru. Pada 2003 ketika Mahathir memperkenalkan PPSMI, unsur-unsur kaedah pengajaran abad ke-21 sudah ada, disokong oleh peruntukan yang besar. Kita berada di depan negara-negara lain dalam memanfaatkan teknologi untuk pendidikan. Idea untuk guru menjadi fasilitator muncul.
“Sayangnya, dasar tersebut secara beransur-ansur hilang setelah enam tahun. Sekiranya ini tidak berlaku, kita akan berada jauh di depan banyak negara membangun,” katanya.
Noor Azimah berkata, teknologi bukan satu-satunya elemen yang diperlukan untuk meningkatkan sistem pendidikan.
“Elemen yang paling penting adalah kepemimpinan, keupayaan politik dan sokongan kewangan untuk memastikan kemajuan ini dapat direalisasikan diikuti perubahan pemikiran yang diperlukan dalam kalangan pendidik.
“Guru perlu dilatih dengan betul untuk menjadi fasilitator. Mengapa video PPSMI gagal adalah kerana mereka tidak dilatih untuk melakukannya dan mereka menganggap ia membuang masa, di luar norma dan zon selesa mereka.”
Tambahnya, sebilangan guru akan terlalu bergantung pada pembelajaran video dan menjadi kurang proaktif dalam pengajaran.
“Tahun sebelum ini, ketika pembelajaran dalam talian berlangsung, saya bimbang guru yang kurang kreatif akan menghantar pautan yang ditonton oleh pelajar tanpa memahami konsep atau isi pelajaran,” katanya.
“Guru perlu mengadakan perbincangan dua hala dengan pelajar untuk memastikan sesi pembelajaran yang seimbang berlaku.”
Sementara itu, pakar pendidikan Zuwati Hasim menimbulkan kebimbangan mengenai halangan teknologi dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan.
“Kita perlu mempertimbangkan kebolehcapaian bahan pendidikan untuk semua pelajar. Kita tidak mahu ada pelajar ketinggalan kerana infrastruktur pembelajaran yang lemah,” katanya.
“Apa sahaja medium/platform atau bahan yang akan digunakan untuk pengajaran, lebih wajar diputuskan oleh guru yang mengetahui keperluan pelajarnya.”