
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, tawaran itu atas dasar sukarela dan “siapa cepat, dia dapat”.
“Tindakan ini selari dengan jangkaan kerajaan akan menerima tempahan kira-kira 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca yang dibeli menerusi fasiliti Covax dalam bulan ini.
“Program pertama yang dibuka semalam hanya untuk Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi saya menyedari ia memberi cabaran kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet dan laman sesawang yang dinyatakan.
“Oleh itu, kita akan mengambil kira mereka yang tidak mempunyai akses ini dan mendekati klinik komuniti bagi memastikan vaksin ini dapat ditawarkan secara sukarela,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Khairy berkata, kerajaan berbuat demikian selepas mendapati sehingga 8,000 individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui PICK membatalkan pendaftaran masing-masing, selepas mengetahui vaksin AstraZeneca ditawarkan dan ada pula yang tidak hadir ke janji temu di pusat pemberian vaksin (PPV).
“Selepas kerajaan mengumumkan pemberian AstraZeneca dibuat secara sukarela, sehingga 80% daripada mereka yang membatalkan pendaftaran kembali mendaftar melalui PICK.
“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan menilai semua pembatalan itu dengan mendalam dan laporannya akan diumumkan kelak,” katanya sambil memaklumkan Putrajaya sedia memperluaskan pemberian vaksin AstraZeneca ke Sarawak, jika kerajaan negeri itu menerimanya kembali.
Sementara itu, Khairy yang juga pengerusi bersama JKJAV menafikan dakwaan kerajaan sengaja menyimpan vaksin diterima bagi memperlahankan program vaksinasi.
“Saya ingin nyatakan bukan kadar vaksinasi yang rendah, cuma bekalan vaksin, penghantaran yang mengikut jadual.
“Ada tanggapan di luar sana, selepas kejayaan tempahan AstraZeneca, kalau diberi peluang, semua hendak diberi awal. Ini bukan soal kita tidak mahu beri vaksinasi cepat, tapi isunya adalah bekalan.”
Setakat hari ini, katanya, Malaysia menerima 1,938,660 dos vaksin Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca, dengan 1,453,382 individu sudah divaksin.
Beliau berkata, ini menunjukkan kadar penggunaan sebanyak 75%, manakala 25% lagi disimpan untuk janji temu yang diatur berdasarkan jadual penghantaran vaksin.
“Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin, kita akan mendorong pengambilannya sehingga 80% selepas Aidilfitri. Kalau kadar penggunaannya 10%, adil untuk mengatakan ia sangat lambat.
“Bagaimanapun, kadar penggunaannya pada 75% dan kita akan mendorongnya sehingga 80% selepas hari raya kerana ketika ini, berlaku kekangan disebabkan kes Covid-19 meningkat, kekangan tenaga kerja dan sebagainya.”
Untuk mempercepatkan vaksinasi, katanya, klinik swasta turut akan dijadikan PPV AstraZeneca menerusi Protect Health, anak syarikat Kementerian Kesihatan.