10 kes baharu babit varian Afrika Selatan mula dikesan di Kelantan

10 kes baharu babit varian Afrika Selatan mula dikesan di Kelantan

Varian yang pertama kali mula dikesan di negeri itu dipercayai berpunca dari Kluster Bunut Sarang Burung.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), jumlah keseluruhan kes tempatan Covid-19 membabitkan varian itu adalah sebanyak 48 kes termasuk di Selangor dan Perak.
PETALING JAYA:
Sebanyak 10 kes varian Afrika Selatan (B.1.351) dikesan di Kelantan setakat semalam dipercayai berpunca dari Kluster Bunut Sarang Burung.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) berkata jumlah keseluruhan kes tempatan Covid-19 membabitkan varian itu adalah sebanyak 48 kes termasuk di Selangor dan Perak.

“Varian Afrika Selatan B.1.351 untuk pertama kalinya mula dikesan di Kelantan (Kluster Bunut Sarang Burung),” kata jabatan itu di Facebook, malam tadi.

Terdahulu, Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin menjangkakan negeri itu akan mencatat kes harian baharu mencecah tiga angka selama empat minggu berturut-turut berdasarkan situasi semasa Covid-19.

“Sejak hampir dua minggu, Kelantan mencatatkan antara 400 hingga 500 kes setiap hari walaupun telah melaksanakan tindakan atau langkah menutup bazar Ramadan dan sekolah,” katanya, menurut laporan Bernama.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 48 kes varian Afrika Selatan, lapan kes varian United Kingdom, satu kes varian India, dua kes varian Nigeria (B.1.525) dan satu kes varian keturunan C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini dilaporkan berkata, varian Afrika Selatan B.1.351 itu pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember lalu di dua negara iaitu UK dan Afrika Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.