
K Ganesh, yang mewakili keluarga Ganapathy, berkata Acryl Sani Abdullah Sani patut mengambil langkah yang menjadi contoh pada hari pertamanya sebagai KPN pada Selasa depan.
“Tugas pertama KPN sepatutnya menggantung tugas atau memecat Ketua Polis Daerah tersebut,” kata Ganesh.
“Jika beliau digantung tugas atau dipecat, setiap Ketua Polis Daerah di negara ini akan melindungi setiap individu yang sedang disiasat bawah jagaan mereka.
“Mereka akan memastikan tiada lagi kematian dalam tahanan kerana mereka tahu mereka akan dipertanggungjawabkan.”
Kata Ganesh, seorang penyumbang telah menawarkan RM10,000 untuk sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan dan hukuman terhadap sesiapa yang bertanggungjawab, secara langsung atau tidak langsung, atas kematian Ganapathy.
Ganapathy, 40, ditahan polis sejak 24 Feb dan meninggal dunia di hospital pada 18 April selepas dirawat selama sebulan.
Keluarganya mendakwa dia dipukul ketika dalam tahanan polis dan mengalami kecederaan parah di kaki, tangan, dan bahu.
Bagaimanapun, Arifai berkata pada Jumaat, tiada bukti lelaki itu dipukul ketika berada dalam tahanan.
Beliau sebelum ini berkata, Ganapathy direman selama 12 hari, dari 25 Feb hingga 8 Mac, bagi membantu siasatan sebuah rompakan di kilang dan kerana mengakibatkan kecederaan.
Kata Ganesh, beliau terkejut Ganapathy tidak diminta memberi keterangan selama 12 hari berada dalam tahanan.
Beliau juga mempersoalkan mengapa Arifai berkata inkues terhadap kematian Ganapathy akan dijalankan, pada waktu sama siasatan sedang berlangsung.
“Inkues hanya boleh dijalankan apabila kes tidak dapat diselesaikan,” kata Ganesh.
“Sekiranya (Arifai) seorang yang budiman, beliau patut meletak jawatan.”