
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Azmi Alias berkata, selepas mendapat arahan daripada mahkamah, pihaknya menyerahkan semula wang kepada mangsa dalam sebuah majlis.
“Program diadakan rentetan siasatan SPRM Johor berkaitan program subsidi upah yang mana syarikat telah didapati mengemukakan tuntutan palsu kepada kerajaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2020,” kata beliau ketika dihubungi FMT.
Pada 3 Mac, seorang pengarah syarikat didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu untuk menuntut subsidi kerajaan pada April tahun lalu.
Tertuduh, Eyo Ah Lai, 64, turut berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang tunai sebanyak RM9,600 daripada keseluruhan RM17,380.50 yang disita SPRM berhubung kes itu dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan, manakala bakinya sebanyak RM7,780.50 diserahkan kepada pekerja yang layak.
Azmi berkata, mahkamah memerintahkan SPRM Johor untuk menyampaikan sendiri wang yang dituntut oleh syarikat tetapi tidak diserahkan kepada yang berhak.
“Seramai lapan orang pekerja yang ditemui pada majlis ini memanjatkan rasa syukur menerima rezeki yang tidak terduga dan berterima kasih kepada SPRM yang telah menyiasat kes ini dengan telus dan adil,” kata beliau.