Tempahan vaksin AstraZeneca dibuka esok

Tempahan vaksin AstraZeneca dibuka esok

Orang ramai boleh membuat tempahan secara sukarela di http://vaksincovid.gov.my.

Menurut laporan media, hanya terdapat 0.0004% risiko berlaku pembekuan darah dengan penggunaan vaksin AstraZeneca. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengumumkan orang ramai yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca boleh membuat tempahan mulai 12 tengah hari esok.

JKJAV dalam catatan di Twitter berkata, tempahan secara sukarela itu boleh dibuat di http://vaksincovid.gov.my.

Katanya, disebabkan bekalan vaksin yang terhad, ia akan diberikan atas dasar “siapa cepat, dia dapat”.

“Sebaik sahaja kami mencapai hadnya, pendaftaran akan ditutup.

“Jika anda sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, anda masih perlu menunggu giliran, berdasarkan fasa yang ditetapkan sebelum ini,” kata jawatankuasa itu.

Rabu lalu, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengumumkan, buat masa ini, vaksin AstraZeneca hanya diberikan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Keputusan itu dibuat susulan kebimbangan orang ramai berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ini berikutan kes darah beku (trombosis) dalam kalangan penerima di Eropah, yang menyebabkan beberapa negara menggantung sementara penggunaan vaksin itu.

Bagaimanapun, pakar menjelaskan risiko mengalami pembekuan darah akibat suntikan vaksin AstraZeneca sangat rendah, iaitu empat kes bagi setiap sejuta dos.

“Itu adalah kemungkinan 0.0004% (pembekuan darah),” kata Khairy.

Susulan pengumuman itu, dilaporkan terdapat reaksi baik daripada pengguna media sosial yang mahu mendaftar untuk vaksin AstraZeneca.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.