
Pada sidang media di sini hari ini, beberapa ahli keluarga tahanan menceritakan bagaimana tahanan tersebut dipukul dengan paip plastik, batang kayu, kerusi, dan objek lain pada 8 April.
Mereka juga mendakwa bahagian sulit tahanan disembur minyak cili, mengakibatkan tahanan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka, malah ada yang berfikir untuk membunuh diri.
Pemimpin NGO Malaruvanan Devadass berkata, beliau tidak mahu sejarah berulang, seperti apa yang berlaku kepada pengusaha susu lembu, A Ganapathy, 40, yang meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April, hanya sebulan selepas dia dimasukkan ke hospital.
Tahanan tersebut ditahan pada 2019, bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) kerana disyaki terlibat dengan jenayah terancang, menurut ahli keluarga mereka.
“Kami tidak tahu apa kesalahan yang dilakukan oleh 22 tahanan ini,” kata Malaruvanan, presiden Pertubuhan Illaya Thalaimurai Kuala Lumpur dan Selangor.
“Jika mereka bersalah, mereka harus dijatuhkan hukuman. Tetapi jangan seksa mereka seperti ini.”
“Kami tidak mahu ada kes lain seperti kes A Ganapathy. Penjara adalah tempat pemulihan, dan itulah yang keluarga mahukan untuk ahli keluarga mereka yang dipenjarakan, bukan kehilangan mereka buat selamanya.”
Semua 22 tahanan tersebut dihantar ke penjara Jelebu untuk dikuarantin selepas kes mahkamah bulan lalu.
Sebahagian daripada mereka kemudian dipindahkan ke Penjara Sungai Udang di Melaka, di mana mereka menceritakan kisah penderaan kepada ahli keluarga mereka.
Selebihnya masih di Penjara Jelebu, dengan ahli keluarga mendakwa mereka tidak dapat dihubungi.
Naib presiden NGO Sebaran Kasih, Prince Jon berkata, beliau mahu polis mengambil tindakan terhadap 10 laporan polis yang dibuat keluarga tahanan, berkenaan dakwaan penderaan yang berlaku, bagi melindungi keselamatan mereka di penjara.
“Orang India adalah golongan minoriti di Malaysia dan mereka didera dan dizalimi di penjara. Tetapi walaupun kami minoriti, kami masih rakyat Malaysia,” kata beliau.
“Kami bukan menentang kerajaan, tetapi kami menentang penyalahgunaan kuasa dan keganasan pihak berkuasa.
“Kami mempunyai hak dan kami layak dilayan sama seperti orang lain. Kami tidak mahu sesiapa pun mati dalam tahanan.”
Ganapathy ditahan pada 24 Feb bagi membantu siasatan polis berhubung salah seorang adik beradiknya. Ibunya sebelum ini berkata, anaknya memberitahu dipukul dengan paip getah oleh polis.
Walaupun bedah siasat menunjukkan Ganapathy meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kaki, lengan dan bahu, Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe semalam berkata, tiada bukti Ganapathy dipukul ketika berada dalam tahanan polis.