Tiada bukti Ganapathy dipukul dalam tahanan, kata polis

Tiada bukti Ganapathy dipukul dalam tahanan, kata polis

Arifai Tarawe berkata, walaupun Ganapathy telah dihadapkan ke mahkamah majistret tiga kali antara 25 Feb dan 6 Mac, dia tidak pernah mengadu dipukul polis.

Keluarga A Ganapathy mendakwa polis telah memukulnya dengan paip getah, tetapi menurut Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe, tiada bukti ia berlaku. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada bukti A Ganapathy yang meninggal dunia di hospital dipukul ketika dalam tahanan polis, kata Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe.

Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April, hanya sebulan selepas dia dimasukkan ke hospital.

Peguam keluarganya berkata, ahli patologi mengesahkan bahawa dia meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahu yang dialami ketika berada dalam tahanan polis.

Peguam tersebut, K Ganesh juga berkata, beliau telah diberi taklimat oleh Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur mengenai hasil bedah siasat tersebut.

Menurut laporan Malay Mail hari ini, Arifai berkata, walaupun Ganapathy telah dihadapkan ke mahkamah majistret tiga kali antara 25 Feb dan 6 Mac, dia tidak pernah mengadu dipukul polis.

Beliau berkata, mangsa juga tidak membuat sebarang aduan kepada pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan yang merawatnya pada 28 Feb, serta 3, 6 dan 7 Mac bahawa dia diserang secara fizikal.

“Berdasarkan semua fakta dimiliki setakat ini, kami mendapati bahawa aduan yang dibuat oleh keluarga mangsa tidak dapat dibuktikan,” kata Arifai pada sidang media hari ini.

“Hasilnya, kami mengandaikan bahawa aduan itu tidak boleh dibuktikan tetapi siasatan masih berjalan. Ada langkah-langkah yang perlu diambil, seperti mendapatkan lagi kenyataan daripada pihak berkenaan untuk membantu kami.”

Beliau juga mendedahkan Ganapathy disahkan positif dadah jenis syabu.

Media sebelum ini melaporkan ibu Ganapathy, S Thanaletchumy, 60, berkata anaknya ditahan pada 24 Feb bagi membantu siasatan berhubung salah seorang adik beradiknya.

Thanaletchumy mendakwa anaknya sihat, kecuali menghidap diabetes.

Wanita itu juga berkata, anaknya telah memaklumkan dia dipukul dengan paip getah oleh polis.

Kumpulan hak asasi telah menyeru agar keganasan polis terhadap tahanan dihentikan, dan agar budaya keganasan dan taktik penderaan untuk memaksa suspek membuat pengakuan dikaji semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.