
Kenyataannya itu berhubung kejadian peniaga burger di Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa khususnya polis.
“Saya perhatikan perkara ini seolah-olah menjadi satu ‘trend’ dan sekiranya tidak diatasi maka kita bimbang ia akan menghakis kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada pihak polis.
“Justeru saya minta kepada semua pihak untuk menggunakan saluran yang betul dan tidak cuba menyebarkan sesuatu perkara tidak berasas atau yang belum diketahui lagi asas kebenaran dan kesahihan maklumatnya,” katanya dipetik dari laporan Berita Harian.
Acryl Sani berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kesalahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Susulan itu, beliau berharap segelintir pihak di negara ini tidak menimbulkan isu fitnah dan kebencian terhadap pihak berkuasa khususnya melalui media sosial.
“Kita berharap supaya masyarakat di luar sana tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas di media sosial sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa,” katanya.