Mak sakit kronik, anak menantu selamba ‘lalok’ dalam rumah

Mak sakit kronik, anak menantu selamba ‘lalok’ dalam rumah

Semua suspek berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan menerusi Operasi Cegah AADK semalam.

Suspek berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Manakala 40 bungkus air ketum dirampas dalam operasi dilakukan AADK di Taman Ikan Emas, Cheras.
PETALING JAYA:
Dua anak dan seorang menantu ditahan ketika leka menghisap dadah dalam rumah yang turut didiami ibu mereka yang menghidap kencing manis kronik.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Cheras, Mohd Ridhwan Mohd Rodzmi, berkata ketiga-tiga mereka ditahan dalam Operasi Cegah AADK di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur, 10 malam semalam.

Katanya, semua suspek yang ditahan itu berusia 27 hingga 38 tahun.

“Ketika serbuan dibuat, ibu suspek yang menghidap kencing manis kronik tidak dapat menahan sebak ketika pasukan AADK menahan ketiga-tiga anaknya termasuk menantu di rumah mereka,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, Ridhwan berkata, pihaknya turut menahan beberapa lagi individu disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi sama.

“Dua suspek diberkas dipercayai memproses serta menjual air ketum di kedai memproses santan kelapa di Taman Ikan Emas, Cheras.

“Sebanyak 40 bungkus plastik lut sinar berisi cecair dipercayai air ketum dengan anggaran 15.1 liter serta dadah disyaki syabu seberat 0.4g turut dirampas.

Beliau berkata, semua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSNJD) Cheras mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.