Lupakan niat ‘curi’ balik kampung ke pantai timur

Lupakan niat ‘curi’ balik kampung ke pantai timur

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pemeriksaan lebih ketat dikuatkuasakan kerana ramai berdegil untuk pulang beraya ke kampung.

Mior Faridalathrash berkata orang ramai diingatkan polis tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun serta mengarahkan mereka berpatah balik sekiranya melanggar peratuaran.
IPOH:
Polis Perak mengingatkan orang ramai yang mahu mencuba nasib merentas negeri tanpa kebenaran terutama ke arah pantai timur untuk melupakan hasrat itu.

Ini kerana, katanya, polis akan mengetatkan kawalan di laluan berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pemeriksaan lebih ketat kini dikuatkuasakan di semua sekatan jalan raya (SJR) kerana dipercayai masih ramai yang berdegil untuk bergegas pulang ke kampung masing-masing menyambut hari raya.

“Sempadan antara Perak dan Pahang terutamanya di Jalan Cameron Highlands di sini adalah laluan utama mereka untuk melakukan perjalanan pulang ke Kelantan dan Pahang.

Mior Faridalathrash.

“Jadi, pemeriksaan dibuat dengan lebih ketat,” katanya pada sidang media Program Singgah Sahur Ketua Polis Perak ke Daerah Ipoh di SJR berkenaan awal pagi tadi.

Beliau berkata orang ramai diingatkan polis tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun serta mengarahkan mereka berpatah balik sekiranya melanggar larangan dikenakan termasuk cuba memalsukan surat kebenaran rentas negeri.

Menurutnya, setakat ini polis Perak telah mengeluarkan 120 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sejak 1 April hingga Rabu lalu dengan kadar pematuhan sebanyak 96%.

Bagaimanapun, bagi yang pulang ke kampung di dalam negeri susulan diberi kebenaran merentas daerah, mereka digalakkan supaya memaklumkan bilik gerakan daerah untuk pemantauan menerusi sistem aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang membolehkan polis bersiapsiaga termasuk rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan, katanya.

Terdahulu, Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menyerahkan sumbangan biskut raya kepada seramai 100 petugas barisan hadapan yang mengikuti program berkenaan di SJR Jelapang, Ampang, Plaza Tol Simpang Pulai dan Jalan Cameron Highlands serta beberapa balai polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.