
Katanya, perbuatan yang dilihat seakan-akan mahu dinormalisasikan itu perlu dibanteras segera dengan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual.
“Sebarang bentuk gangguan seksual yang dilakukan dalam apa jua bentuk dan menerusi pelbagai medium adalah tindakan tidak bermoral yang ditegah sama sekali dalam ajaran agama serta nilai budaya.
“Tingkah laku seperti ini juga secara etika kerjanya juga tidak profesional dan tidak menggambarkan kematangan seseorang individu,” kata naib presidennya Fatin Nur Majdina Nordin dalam kenyataan.
ABIM berkata, pihak berkuasa serta kementerian berkenaan perlu mengeluarkan penyataan sikap dengan segera.
Gesaan itu dibuat berdasarkan pengamatan di media sosial, di mana ABIM turut memandang berat laporan ugutan rogol yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah dihadapi seorang pelajar wanita daripada rakan sekelasnya.
“ABIM mengecam tindakan ini kerana ia tidak seharusnya berlaku di institusi pendidikan yang merupakan wadah penting untuk membentuk karakter serta jati diri generasi muda,” katanya.
Jelasnya, perilaku ini tidak seharusnya dijustifikasikan atas apa-apa dalih atau alasan sekalipun.
Semalam, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik dalam hantaran Twitternya turut meminta tindakan diambil jika benar terdapat guru yang meninggalkan komen lucah dalam hantaran Facebook membabitkan pelajar sekolah menengah yang mendedahkan guru membuat gurauan rogol di sekolah.
Maszlee menggesa penggantinya, Radzi Jidin, dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengambil tindakan segera, sambil menambah laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu dibuat.