
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang, Faris Ismail, 31, dalam perjalanan menghantar pesanan makanan pelanggan sebelum motosikal ditungganginya dirempuh lori.
Kesan daripada itu, badan beliau mengalami luka, lebam dan sakit seluruh badan kesan hentakan ke jalan raya.
Lebih malang, motosikal digunakan hampir tiga tahun lalu sebagai sumber mencari rezeki itu rosak teruk selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda dalam kejadian terbabit.

Bercakap kepada FMT, bapa kepada dua cahaya mata itu sayu mengenangkan nasib keluarga yang bergantung penuh kepada pendapatannya lebih-lebih lagi nahas itu berlaku ketika bulan puasa sekali gus menjejaskan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kemalangan ini memberi kesan mendalam kepada saya sekeluarga. Selepas dirempuh lori tempoh hari, saya berasa trauma untuk bawa motosikal dan sukar untuk kembali bekerja,” katanya.
Mengimbau detik ketika kemalangan itu, Faris berkata, lori “hantu” berkenaan tiba-tiba menukar arah dan membelok ke kiri dalam keadaan mengejut.
“Lori itu tiba-tiba merempuh motosikal saya menyebabkan saya tercampak hampir 50 meter. Ketika jatuh di atas jalan, datang pula sebuah Hilux yang hampir mahu melanggar saya, namun akibat brek mengejut, kenderaan itu merempuh motosikal saya dan menyebabkan kerosakan lebih teruk,” katanya.
“Pendapatan utama saya hanyalah sebagai penghantar, 100% perbelanjaan dan hutang semuanya di atas bahu saya kerana isteri tidak bekerja.
“Kini saya bergantung penuh kepada wang simpanan yang tidak seberapa untuk terus menampung isteri dan dua anak berusia 7 tahun dan 4 tahun yang sedang bersekolah,” katanya.

Sebelum bekerja sepenuh masa sebagai penghantar GrabFood, Faris bekerja di syarikat katering milik ibu mertuanya sejak berumur 18 tahun.
Namun perintah kawalan pergerakan tahun lalu memaksa syarikat itu menghentikan operasi berikutan majlis perkahwinan atau majlis sosial tidak dibenarkan.
Faris kemudian membuat keputusan untuk menjadi penghantar sepenuh masa memandangkan pendapatan yang diperolehi dengan GrabFood lebih tinggi sekitar RM150 hingga RM160 sehari berbanding katering yang tidak menentu.
Bagi Faris, meski jumlah pendapatan itu tidak banyak, tetapi itu adalah rezeki yang cukup untuk membesarkan anak-anaknya selain menyediakan keperluan harian mereka sekeluarga.
“Tapi, selepas kemalangan tempoh hari, agak terkesan juga,” luahnya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.