Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen, berkata kebimbangan terhadap vaksin itu kebanyakannya berpunca daripada pengetahuan tidak mencukupi atau pemahaman tidak lengkap mengenai masalah pembekuan darah yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan
sesetengah penerima AstraZeneca.
“Disebabkan berita negatif dan perdebatan mengenai vaksin ini, akan ada ramai orang yang mungkin tidak mahu divaksin, akan ada yang tidak hadir atau tidak mahu mendaftar untuk divaksin,” katanya.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata: “Kita perlu menekankan bahawa mereka yang paling berisiko mengalami kesan sampingan bukanlah dari golongan warga emas atau golongan rentan. Mereka adalah golongan orang muda.

“Inilah sebab mengapa beberapa negara tidak memberi (vaksin) kepada mereka yang berusia bawah 55 tahun. Di United Kingdom (UK), golongan 30 tahun ke bawah tidak diberi vaksin AstraZeneca.”
Terdahulu, kerajaan mengumumkan mereka yang berusia lebih 60 tahun akan diberi vaksin AstraZeneca pada fasa kedua program imunisasi vaksin kebangsaan.
Orang muda tidak akan menerima vaksin itu susulan terdapat laporan mengenai komplikasi pembekuan darah.
Azrul berkata “kemungkinan untuk pembekuan darah sebenarnya lebih tinggi dengan pengambilan pil pencegah kehamilan berbanding vaksin ini”.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menyarankan penggunaan AstraZeneca ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga bulan sehingga mempunyai alternatif lain.
“Ketika itu, kita akan mempunyai lebih banyak data hasil penggunaan vaksin itu di UK dan Kesatuan Eropah,” katanya kepada FMT.
Namun, Azrul berkata: “Jika vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada saya, saya dengan rela menerima vaksin itu.”

Katanya, beliau percaya dengan keputusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan vaksin itu, dengan berkata “sains dan data cukup jelas. Penting untuk rakyat tahu ini ialah vaksin yang selamat dan berkesan”.
Subramaniam berkata, kerajaan mesti berkomunikasi secara jelas dan menjelaskan “risiko minimum” yang datang dari vaksin berkenaan.
Jelas beliau, doktor swasta boleh segera merawat kes pembekuan darah sekiranya berlaku, sekarang mereka menyedari kemungkinan kesan sampingan itu.